ventilator
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 3,200 pegawai perubatan, 350 pegawai pergigian dan 400 pegawai farmasi yang memohon lantikan kontrak (interim) di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah dilantik secara tetap oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) pada 21 Okt lepas.

“Semoga dengan pelantikan tetap ini, semua calon akan terus komited dan memberikan perkhidmatan lebih cemerlang demi kesejahteraan masyarakat Malaysia MADANI,” menurut KKM dalam kenyataan hari ini.

KKM memaklumkan sekiranya terdapat calon yang berhasrat untuk membuat rayuan pertukaran penempatan, ia boleh dibuat menerusi Google Form yang disediakan dalam sistem e-Placement dari 5 hingga 11 Nov ini untuk pegawai perubatan manakala dari 5 hingga 15 Nov untuk pegawai pergigian dan pegawai farmasi.

Menurut kenyataan itu, hanya rayuan yang dikemukakan menerusi Google Form dalam tempoh yang ditetapkan sahaja akan dibawa untuk pertimbangan oleh Jawatankuasa Rayuan Penempatan.

Keputusan rayuan akan dimaklumkan kepada calon menerusi portal Semakan Kerjaya KKM pada 2 Dis ini.

Menurut KKM, antara aspek rayuan yang akan dipertimbangkan ialah calon yang sedang mengikuti pengajian kepakaran yang diluluskan KKM; calon, pasangan atau anak menghidap masalah kesihatan serius (disokong laporan perubatan); dan permohonan suka sama suka yang dikemukakan oleh mana-mana calon.

Urusan penempatan calon ke fasiliti akan dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri mulai 23 Dis ini.

Menurut kenyataan itu, tarikh pelantikan tetap calon adalah mengikut tarikh kuat kuasa melapor diri bertugas iaitu 30 Dis 2024 atau tarikh baharu yang diluluskan oleh ketua jabatan sekiranya memohon penangguhan lapor diri bertugas. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast