Khairul Amilin Abdullah Shukor

KUANTAN  – Pemilihan Kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) 2024 menyaksikan calon muda, Khairul Amilin Abdullah Shukor, 38, gagal dalam percubaan sulung merebut jawatan Ketua Bahagian Indera Mahkota.

Anak tempatan itu bagaimanapun akur dengan kekalahan bermaruah, tewas 24 undi kepada Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang memperoleh 83 undi.

Amilin yang memperoleh 59 undi itu berkata, bantahan terhadap pengurusan dan pengiraan berat sebelah telah dibuat namun tidak mendapat maklum balas sehingga hari ini.

Beliau tidak berpatah arang namun terus memandang sudut perjuangan kerana apa yang lebih utama baginya ialah perancangan serta hala  tuju parti berikutnya selepas proses pemilihan.

“Saya tewas tipis namun jumlah undi yang saya terima, amat besar maknanya. Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang menaruh kepercayaan.

“Apa yang jelas, perjuangan tidak akan terhenti di sini. Saya anggap kekalahan ini adalah kejayaan yang tertangguh,” ujar Amilin tenang.

“Bersandarkan jumlah undi itu juga sudah menampakkan tanda positif penerimaan ahli kepada pemimpin muda sepertinya,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambahnya, beliau mahu melihat pemimpin parti melahirkan pendekatan kreatif bagi memperkasakan kepercayaan rakyat terutama di kalangan generasi muda dan kini berpuas hati melihat era kebangkitan kepimpinan anak muda sudah menonjol.

Amilin menyifatkan kebangkitan generasi muda merupakan cabaran yang wajar dipikul setelah kepercayaan diberi oleh ahli.

Harapan beliau agar semua ahli kekal bersatu dan memberi kerjasama padu dalam berbakti kepada masyarakat.

“Kalah menang itu adat. Saya tidak putus asa. Jangan biarkan emosi dan amarah melemahkan kekuatan parti.

“Kita kena tingkatkan prestasi dan bersiap sedia untuk berjuangan di pilihanraya yang lebih besar nanti,” katanya.

Persidangan Tahunan Bahagian Bersatu bagi Bahagian Indera Mahkota diadakan pada 2 November lalu.

Persidangan tersebut membabitkan pemilihan barisan ahli jawatan kuasa pusat dan bahagian itu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN :

40 ahli Bersatu Pahang termasuk Bendahari keluar parti

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast