KUALA LUMPUR – Putrajaya menzahirkan rasa sedih atas serangan bom mengerikan yang berlaku di Quetta, Pakistan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Malaysia menghulurkan takziah buat 24 mangsa yang terbunuh ekoran letupan bom berkenaan.
“Tindakan kejam dan keganasan seperti ini, yang mensasarkan orang awam dan anggota keselamatan, adalah peringatan jelas tentang ancaman tanpa henti yang ditimbulkan oleh ekstremisme dan kekakuan ideologi — kuasa yang merosakkan kemajuan dan keamanan dalam masyarakat Islam.
“Malaysia berdiri teguh dalam solidariti dengan Kerajaan Pakistan dalam perjuangan tanpa henti menentang keganasan,” katanya di Facebook, hari ini.
Media hari ini melaporkan sekurang-kurangnya 24 orang terbunuh dan lebih 40 cedera dalam letupan bom di sebuah stesen kereta api di Quetta, barat daya Pakistan hari ini.
Pakistan kini bergelut dengan peningkatan serangan oleh kumpulan puak pemisah etnik di selatan dan pemberontak Islam di barat laut negara itu.
Polis berkata, letupan tersebut dipercayai angkara pengebom berani mati dan siasatan sedang dijalankan untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Tentera Pembebasan Balochistan (BLA), sebuah kumpulan militan pemisah, mengaku bertanggungjawab atas serangan di stesen kereta api utama Quetta, yang biasanya sibuk pada waktu awal pagi. – MalaysiaGazette