Fahmi Fadzil

CYBERJAYA – Program Pasport Keselamatan Kurier adalah inisiatif penting bagi mempromosikan budaya keselamatan penghantaran dalam industri kurier di negara ini.

Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, program julung kalinya diadakan ini bagi melindungi pekerja dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan kurier.

Malah Fahmi berkata, ia juga satu usaha baik bagi memastikan pengendalian barang yang selamat dan melindungi keselamatan pekerja dalam industri itu.

“Selepas ini, para pelanggan akan dapat membuat pilihan lebih bijak yang kita jangka akan membantu sektor kurier membuat kawalan kendiri terutama untuk menjamin keselamatan pekerja mereka.

“Ini satu usaha yang cukup kita sambut dengan baik dan harap lebih banyak syarikat kurier akan terlibat dalam masa yang tidak terlalu lama,” katanya dalam sidang media selapas merasmikan majlis sambutan Hari Kurier Negara 2024 kali pertama, hari ini.

Terdahulu, Fahmi menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Forum Pos/Persatuan Penghantar Ekspres Malaysia (AMEC) dengan kerjasama MIROS dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi melaksanakan program itu.

Dalam ucapan perasmiannya, Fahmi berkata, industri kurier telah menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 160,000 rakyat Malaysia dengan 105 syarikat diberikan lesen kurier.

Fahmi turut menjangkakan industri kurier akan berkembang selaras dengan sasaran kadar pertumbuhan kerajaan sebanyak 30 bungkusan per kapita menjelang 2025.

“Menurut data Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada tahun 2023, industri kurier telah mencapai kadar 26.1 bungkusan per kapita.

“Angka ini menunjukkan kemajuan yang positif ke arah sasaran menjelang 2025,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast