KUALA LUMPUR – Seramai 750 orang penduduk sekitar Kampung Bharu mendapat manfaat daripada Program Santuni Komuniti Madani Peringkat Kampung Angkat Menteri di Jabatan
Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang berlangsung hari ini dengan jumlah peruntukan sebanyak RM49,955.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, program tersebut merupakan titik permulaan kepada agensi-agensi di bawah pentadbirannya untuk terus berkhidmat kepada rakyat khususnya penduduk Kampung Bharu.

“Penganjuran program ini adalah berpaksikan kepada Teras Pelan Transformasi Al – Falah iaitu Kesejahteraan Insan dengan fokus kepada dua perkara iaitu kemampanan ekonomi dan kebajikan sosial Islam dengan mengukuhkan institusi dan program Islam serta kebajikan sosial sebagai tonggak pembangunan masyarakat madani;

“Pengukuhan perpaduan ummah dan keharmonian tamadun dengan memperluaskan jaringan kerjasama umat Islam di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa bagi mengukuhkan perpaduan ummah,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan, di sini, hari ini.

Menurut beliau, program berkenaan bertepatan dengan enam nilai teras Malaysia Madani iaitu mengasihi orang lain, keluarga, sahabat handai, jiran tetangga dan masyarakat secara keseluruhannya.

Program itu dianjurkan bersama Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), TV Al-Hijrah, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), dan Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR).

Sebanyak Sembilan aktiviti pengisian program tersebut yang bermula sejak 8.30 pagi tadi.

Antaranya adalah Kayuhan Prihatin Wakaf oleh YWM di sekitar Kampung Bharu; Program Santuni Asnaf oleh MAIWP, TV Al-Hijrah dan PPZ; Program Keceriaan Sekolah; Program Walkabout dan Program Gotong-Royong Memasak Bubur Lambuk.

Selain itu turut berlangsung Program Gunting Rambut Percuma; Program Pemeriksaan Kesihatan; Program Ceramah Advokasi Kesedaran Penipuan Pakej Umrah dan akhir sekali Program tazkirah oleh personaliti.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast