KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Kaherah Mesir bagi lawatan rasmi selama empat hari.
Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri berkata, kunjungan beliau adalah atas jemputan Presiden, Abdel Fattah El-Sisi.
Ini adalah lawatan kali kedua Anwar ke Mesir selepas dilantik menjadi Perdana Menteri dengan lawatan pertama dilakukan pada Oktober tahun lalu.
“Kunjungan ini akan membuka peluang dan lembaran kepada kami dalam membincangkan kemajuan hubungan Malaysia dan Mesir selain menerokai bentuk kerjasama baharu.
“Usaha berterusan juga akan terus dipergiat bagi memperkukuh kerjasama ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua negara,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, beliau dijadual menyampaikan syarahan umum di Universiti Al-Azhar Al-Syarif selain bertemu pelajar-pelajar dari Malaysia di lokasi sama. – MalaysiaGazette