Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail

KUALA LUMPUR – Dua pengawal keselamatan yang direman sebelum ini bagi membantu siasatan berkait kehilangan beg berisi wang tunai RM1 juta di Ampang Point telah dibebaskan semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, suspek merupakan lelaki dan wanita masing-masing berusia 52 tahun serta 38 tahun dibebaskan dengan jaminan polis.

“Siasatan pihak polis telah selesai dijalankan dan kertas siasatan kini sedang dikemas kini sebelum dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, dua pengawal keselamatan itu ditahan reman empat hari bermula 7 November bagi membantu siasatan berhubung kehilangan beg berisi wang tunai tersebut.

Mohd Azam melaporkan, kedua-dua suspek ditahan ketika menaiki van oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya pada 6 November.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi mengesahkan, beg berisi wang tunai itu ditemukan orang awam dan telah diserahkan kepada polis.

Beg terbabit ditemui di Jalan Hulu Kelang menuju ke Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) arah ke ibu negara, tidak lama selepas kejadian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast