KUALA LUMPUR – Khatib di seluruh negara diingatkan supaya tidak menyalahgunakan peranan khutbah dengan menyampaikannya sebagai berunsurkan fitnah dengan fakta yang tidak benar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, khutbah yang disampaikan seminggu sekali sepatutnya menyatupadukan umat Islam.
“Saya menasihatkan semua khatib bukan sahaja di Wilayah Persekutuan, tetapi seluruh negeri, khatib ada tujuan (sampaikan) khutbah? Sepatutnya digunakanlah untuk menasihatkan jemaah yang hadir untuk bersatu-padu.
“Khutbah perananannya adalah untuk menyatupadukan umat Islam di negeri-negeri bukan jadi pemecah belah apatah lagi menggunakan mimbar khutbah untuk fitnah perkara yang tidak betul,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pada Program Santuni Komuniti Madani Peringkat Kampung Angkat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Mohd Na’im berkata demikian bagi mengulas tindakan khatib di sebuah masjid di Padang Serai baru-baru ini yang mengupas isu pemberian warga negara kepada lebih satu juta rakyat China menerusi khutbah.
Terdahulu Mohd Na’im berkata, khutbah yang disampaikan di setiap negeri lazimnya disediakan oleh Jabatan Agama Islam Negeri.
Dalam masa yang sama katanya, Jabatan Agama Islam Negeri Kedah melalui penguatkuasaan berkuasa mengambil tindakan sekiranya didapati khatib yang terlibat tidak mempunyai tauliah.
Katanya, bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah untuk menentukan sama ada khutbah yang disampaikan berisiko menimbulkan keresahan dan ketegangan kaum.
“Khutbah itu berlaku di negeri Kedah, seperti mana yang kita tahu kuasa termasuk dalam mendraf dan memberi khutbah di bawah Jabatan Agama Islam Kedah.
“Kalau hasil siasatan polis, khutbah itu menimbulkan keresahan, ketegangan kaum itu di bawah PDRM,” tambah beliau.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyuarakan kekesalan terhadap tindakan khatib berkenaan.
Menurutnya, pihaknya menerima aduan awal mengenai kejadian yang dilihat mampu mencemarkan institusi masjid.
Sebelum ini, media melaporkan Saifuddin menafikan dakwaan seramai 1.2 juta pelancong China masuk ke Malaysia dan tidak keluar semula.
Beliau berkata, jumlah pelancong republik itu dengan pas lawatan sosial yang masih berada dalam negara ini adalah seramai 84,817 orang dengan jumlah ketibaan pelancong China bagi tempoh 1 Januari 2018 hingga 30 November lepas adalah seramai 8,491,653 orang dan pelepasan keluar 8,012,294 orang.-MalaysiaGazette