Bendera Qatar

BAITULMAQDIS – Kumpulan Hamas tidak menerima permintaan untuk meninggalkan ibu negara Qatar, Doha, menurut sumber.

“Komunikasi antara pemimpin Hamas dan para pegawai Qatar masih diteruskan,” katanya.

Laporan itu menyatakan Hamas telah menyediakan rancangan alternatif untuk memindahkan pejabatnya jika perlu.

Terdahulu, seorang diplomat memberitahu AFP bahawa Qatar melangkah ke belakang daripada peranannya sebagai orang tengah dalam rundingan gencatan senjata untuk Gaza dan memberi amaran kepada Hamas bahawa pejabatnya di Doha ‘sudah tidak lagi menepati tujuan’ jika rundingan tersebut terbantut.

Kementerian Luar Qatar mengesahkan laporan mengenai usaha diplomatik yang digantung itu.

Bagaimanapun, ia mengisytiharkan laporan mengenai pejabat Hamas di Doha ‘tidak tepat’ dan berkata, objektif utama pejabat itu adalah untuk menyediakan saluran komunikasi antara pihak-pihak yang terlibat.

Qatar telah memaklumkan kepada pihak berkaitan dalam tempoh masa 10 hari lebih awal bahawa ia akan menggantung usaha menjadi orang tengah sekiranya perjanjian tidak dicapai, menurut kementerian berkenaan.

Selain itu, Qatar menyatakan ia tidak akan bertoleransi terhadap peranan pengantara yang dimainkannya untuk ditekan atau dieksplotasi, dan negara itu memantau ‘manipulasi’ menerusi penarikan komitmen yang dipersetujui sebelum ini.

Qatar bersama-sama Amerika Syarikat (AA) dan Mesir berusaha sejak berbulan-bulan untuk melaksanakan gencatan senjata dan membebaskan tahanan namun usaha tersebut tidak menunjukkan kemajuan.

“Qatar memaklumkan kepada Hamas dan Israel bahawa selagi terdapat keengganan untuk berunding dengan niat baik, mereka tidak dapat terus menjadi pengantara,” kata sumber yang tidak mahu dikenali.

Berikutan itu, Qatar menyatakan kepada Hamas bahawa pejabat politik di Doha ‘tidak mencapai tujuan’.

Qatar telah berkomunikasi dengan Hamas, Israel dan AS secara rasmi.

Sumber menyatakan Qatar terbuka untuk menjadi pengantara jika kedua-dua pihak menunjukkan komitmen yang ikhlas untuk balik ke meja rundingan.

Bagaimanapun, Biro Politik Hamas di Qatar tidak ‘menerima sebarang permintaan daripada pihak berkuasa untuk meninggalkan negara itu’, menurut seorang sumber kanan di pergerakan tersebut memberitahu Ria Novosti.

“Tiada apa untuk disahkan atau dinafikan berkenaan apa yang telah disiarkan oleh sumber diplomatik yang tidak mahu dikenali dan kami tidak menerima sebarang permintaan untuk meninggalkan Qatar,” kata pegawai dari Doha itu selepas sumber diplomatik memberitahu AFP.

Terdahulu, Ahli Biro Politik Hamas, Izzat al-Rish menggariskan bahawa cadangan gencatan senjata di Gaza untuk beberapa hari yang dikemukanan Israel baru-baru ini hanya ‘untuk mengaburi mata’ yang mana ia tidak melibatkan pemberhentian pencerobohan, pengunduran atau memulangkan mereka yang kehilangan tempat tinggal.

Semalam, al-Rishq menjelaskan, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyasarkan untuk membeli masa dan berselindung di sebalik rundingan untuk melakukan pencerobohan.

“Kami terbuka terhadap sebarang cadangan atau idea bagi memastikan pencerobohan dan pengunduran tentera penceroboh dari Gaza ditamatkan,” katanya sambil menambah permainan peranan bersepadu antara penceroboh dan AS berterusan di Lubnan, seperti mana di Gaza. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast