Fakhirah Hazirah Shahrulazhar bergambar kenangan bersama kedua ibu dan ayahnya.

MELAKA – Leftenan Muda KOR SISPA (Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam) yang juga merupakan atlet taekwondo, Fakhirah Hazirah Shahrulazhar, 24, telah menerima Anugerah Pelajaran Diraja bagi Majlis Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ke 20 semalam.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik dengan Kepujian itu merupakan seorang aktif bersukan taekwondo sepanjang pengajiannya di UTeM dan pernah merangkul pingat gangsa dalam penyertaannya.

Fakhirah Hazirah berkata, sebagai mahasiswi yang ingin cemerlang maka perlu berdisplin, tekun dan bijak dalam menguruskan masa mengimbangi antara fokus akademik, sukan taekwondo yang beliau aktif serta ko kurikulum pasukan beruniform.

“Ini merupakan cabaran besar buat saya dalam aspek mental dan fizikal namun kita perlu tetapkan dalam minda dengan satu keazaman teguh serta diiringi doa kedua ibu bapa dan sokongan para pensyarah.

“Kita perlu terus konsisten dengan amalan dan sentiasa bersungguh-sungguh dalam melaksanakan sesuatu perkara itu sehingga membuahkan kejayaan,” ujarnya yang mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.52 dan turut mencapai 4 kali Anugerah Dekan sebelum ini.

Beliau merupakan anak keempat daripada daripada lima orang adik beradik kepada pasangan jurutera, Shahrulazhar Shamshudin, 59 tahun dan Noraishah Shamsuddin, 58 tahun.

Ditanya mengenai cita-citanya, graduan berasal dari Shah Alam, Selangor itu menanam impian menjadi seorang jurutera yang berjaya di samping dapat membantu dalam pembangunan teknologi buat sektor industri dan komuniti.

Pada majlis sama, seorang lagi penerima Anugerah Pelajaran Diraja ialah Din Ying Xuan, 24, merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pembuatan dengan kepujian bersama pencapian PNGK 3.68.

Ketika ditemubual, Ying Xuan yang berasal dari Kuala Langat, Selangor itu melahirkan rasa teruja dan gembira dengan kejayaan menerima anugerah ini kerana cabaran yang telah dilalui sepanjang pengajiannya untuk cemerlang di UTeM membuahkan hasil.

“Faktor utama pencapaian saya ialah sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada keluarga dan pensyarah yang mana dorongan mereka memberikan saya kekuatan untuk terus maju, walaupun melalui saat-saat yang sukar.

“Selain itu, motivasi peribadi untuk menimba ilmu dan mencapai kecemerlangan juga menjadi pendorong utama. Saya sentiasa percaya bahawa usaha keras, disiplin, dan tekad adalah kunci untuk mencapai kejayaan dalam apa jua yang diceburi,” ujarnya.

Beliau merupakan anak sulung daripada dua orang adik beradik kepada pasangan Din Chu Han, 52 tahun (penyelia) dan Lim Choon Moi, 56 tahun (guru).

Din Ying Xuan bergambar kenangan bersama kedua ibu dan ayahnya.

Beliau kini sedang melanjutkan pengajian di Ijazah Sarjana Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Malaya.

Dengan kejayaan sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja UTeM maka setiap seorang telah menerima pingat, sijil anugerah, wang tunai RM7,500 dan nombor plat eksklusif UTeM.

Mereka berdua merupakan antara 3,459 graduan yang menerima diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana serta ijazah Doktor Falsafah (PhD) masing-masing pada majlis yang berlangsung tiga hari bermula hari ini 9 hingga 11 November ini membabitkan enam sesi itu.

Majlis Konvokesyen UTeM ke 20 disempurnakan oleh Canselor UTeM yang juga Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Hj. Mohd Ali Mohd Rustam dan hadir sama, Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast