YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim disambut oleh Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi ketika tiba di Istana sempena Lawatan Rasmi ke Mesir di Istana Al-Ittihadiya , Kaherah Mesir pada 10 November 2024. - AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri

KUALA LUMPUR – Malaysia menghargai usaha Mesir dalam menyokong penyertaan negara sebagai rakan kerjasama dalam BRICS, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi di Istana Al-Ittihadiya (Heliopolis) di Kaherah, Mesir, hari ini berkata selain BRICS, pertemuan beliau dengan Abdel Fattah turut menyentuh pelbagai perkara dalam usaha memperkukuh hubungan strategik kedua-dua negara.

“Hubungan ini meliputi soal kerjasama dalam bidang pelaburan dan perdagangan, minyak sawit, industri halal, pendidikan, pelancongan, kesihatan serta sumber asli dan tenaga boleh baharu.

“Perbincangan kami turut menyentuh soal BRICS dan Malaysia menghargai usaha Mesir dalam menyokong penyertaan negara sebagai rakan kerjasama,” kata beliau dalam hantaran di laman X hari ini.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan kini dalam rangka lawatan rasmi selama empat hari ke Mesir.

Pada 24 Okt lepas, Malaysia diiktiraf sebagai rakan BRICS berserta 12 negara lain iaitu Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indonesia, Kazakhstan, Nigeria, Thailand, Turki, Uganda, Uzbekistan dan Vietnam.

Anwar mengesahkan hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS semasa perbincangan dengan Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva pada 18 Jun tahun ini.

BRICS, asalnya merangkumi Brazil, Rusia, India dan China ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi yang sedang pesat membangun.

Afrika Selatan menyertainya pada 2010. Blok itu kemudiannya berkembang dengan meliputi Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu.

BRICS mewakili kira-kira 40 peratus daripada populasi global dan menyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terkumpul US$26.6 trilion atau 26.2 peratus kepada KDNK dunia, hampir menyamai kekukuhan ekonomi Kumpulan Tujuh (G7). – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast