Seorang penunggang motosikal kuasa tinggi maut semasa berkonvoi di Batu 6, Jalan Kangkar Baru Paloh, Yong Peng, Batu Pahat hari ini.

BATU PAHAT – Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut manakala empat lagi cedera semasa berkonvoi di Batu 6, Jalan Kangkar Baru Paloh, Yong Peng dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian itu yang berlaku pukul 10.15 pagi melibatkan tiga motosikal kuasa tinggi dan sebuah kereta.

“Kejadian berlaku semasa tiga buah motosikal bersama-sama beberapa buah motosikal berkuasa tinggi yang lain sedang dalam perjalanan dari Segamat menghala ke arah Kluang.

“Apabila sampai di tempat kejadian berlaku kemalangan antara motosikal pertama ditunggang mangsa yang maut bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan.

“Akibat kemalangan tersebut telah menyebabkan motosikal kedua terlanggar motosikal pertama mengakibatkan motosikal kedua turut terbabas.

“Datang pula motosikal ketiga juga terbabas setelah terlanggar serpihan-serpihan atas jalan raya kesan kemalangan akibat perlanggaran pertama dan kedua,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Kata Shahrulanuar, akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal pertama cedera parah di bahagian leher dan organ dalaman badan sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, mangsa yang maut A Razak Jufrin, 64, beramat di Pasir Gudang manakala penunggang dan pembonceng motosikal kedua iaitu seorang lelaki, 58, dan isterinya, 56, cedera.

Turut cedera katanya, penunggang motosikal ketiga iaitu seorang lelaki, 29, manakala pemandu kereta berkenaan pula cedera ringan di beberapa bahagian badan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara dua hingga 10 tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM20,000.

“Polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini agar dapat tampil membantu siasatan polis,” ujarnya.

Sesiapa yang ada maklumat boleh menyalurkan maklumat ke mana-mana balai polis berhampiran atau melalui Hotline Polis Kontinjen Johor 07-2212999 atau Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat di talian 07-4343999.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here