Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berucap merasmikan Konvensyen Biasa Negeri DAP Selangor 2024 di Pusat Konvensyen Ideal, Shah Alam, hari ini. Foto: NIZAM ZAIN, 10 NOVEMBER 2024

SHAH ALAM – Perbalahan antara Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dengan Naib Presiden DAP, Teresa Kok tidak akan menjejaskan kerjasama antara parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia hanya perselisihan antara individu dan kerajaan masih berfungsi dan tadbir urusnya masih berjalan dengan baik.

“Dalam mana-mana gabungan politik, kerajaan dan mana-mana kerjasama politik antara gabungan, sudah tentu ada perselisihan antara individu, itu di peringkat individu.

“Mana-mana perselisihan antara individu itu, ia tidak boleh jejaskan kerjasama di peringkat kerajaan.

“Bagi saya, itu isu peribadi, antara individu dengan pemimpin, pengalaman kita dalam semua gabungan ada macam itu. Ia suatu kebiasaan dalam politik, memang ada individu-individu yang ada isu dia sendiri,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Biasa Negeri DAP Selangor 2024 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Teresa memfailkan saman fitnah terhadap Dr Muhamad Akmal di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung isu halal, pada 21 Oktober lalu.

Teresa selaku plaintif mengemukakan saman itu menerusi Tetuan SN Nair & Partners, berhubung kenyataan didakwa fitnah oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu dalam video di aplikasi TikTok, pada 7 September lalu.

Beliau menamakan Dr Muhamad Akmal selaku defendan tunggal dan menuntut pampasan, ganti rugi am, teruk dan teladan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka itu.

Menurut Anthony, perbalahan antara ahli politik dalam mana-mana gabungan politik bukan perkara baharu, bahkan ia pernah berlaku dalam parti komponen Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR).

“Dulu kita dalam PR pun sama, BA pun sama, masa satu gabungan yang tiada gaduh. Barisan Nasional (BN) sudah berpuluh tahun pun, ada UMNO ada MCA, gaduh juga.

“Yang penting ialah hala tuju negara dan kerjasama ini antara PH dan BN boleh membawa kebaikan kepada negara

“Kalau ia dapat membuktikan bahawa kerajaan berfungsi dengan baik, ditadbir dengan baik, model ini boleh membawa kepada kemajuan dan kesejahteraan kepada negara dan rakyat.

“Maka sudah tentu kita harap kerjasama dapat diteruskan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast