Menteri Besar Selangor, Datuk Aminruddin Shari yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor hadir untuk merasmikan Konvensyen AMK 2024 Zon Tengah di Sekamat Grand Palaca Event Hall, Kajang. Foto AIZAT ZAINAL, 10 NOVEMBER 2024.

KAJANG – Angkatan Muda Keadilan (AMK) perlu bekerja lebih kuat bagi memastikan gerakan itu akan terus diterima oleh golongan muda pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, gerakan itu tidak sewajarnya bergantung kepada populariti pimpinan atasan sebaliknya perlu membantu meyakinkan rakyat mengenai tawaran yang boleh diberikan oleh kerajaan sedia ada kepada mereka.

Malah, katanya, AMK perlu menjadi tokoh peringkat akar umbi termasuk menjadi pemimpin kepada generasi masa depan.

“Khairy Jamaluddin (KJ), (bekas) Menteri Belia dan Sukan popular, dia pun popular sampai sekarang. Tapi dia (populariti) tidak jamin, sebab masa dia jadi Ketua Pergerakan Pemuda (UMNO) iaitu tahun 2018, BN (Barisan Nasional) kalah dengan Pakatan Harapan (PH).

“Maksudnya apa, kita tak boleh bergantung dengan individu, kita tak boleh bergantung dengan populariti lebih-lebih lagi kalau kita asyik-asyik mahu populariti kita. Tokoh kita siapa, Perdana Menteri (PM)?

“Betullah PM bagus, betullah PM popular, betullah PM pergi berdialog dengan mahasiswa, mahasiswi tetapi Angkatan Muda ini nak buat apa,” katanya yang juga Menteri Besar Selangor.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Konvensyen Angkatan Muda (AMK) Zon Tengah di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua AMK yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan dan Ahli Parlimen Hang Tuah Adam Adli Abdul Halim menyampaikan cenderahati kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Aminruddin Shari yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor pada majlis perasmian Konvensyen AMK 2024 Zon Tengah di Sekamat Grand Palaca Event Hall, Kajang. Foto AIZAT ZAINAL, 10 NOVEMBER 2024.

Mengulas lanjut, Amirudin yang merupakan anggota Majlis Pimpinan Negeri (PKR) berkata, Pilihan Raya umum ke-16 akan menjadi medan pertarungan parti-parti yang akan menjadi pilihan anak muda dalam menentukan masa depan mereka dan negara.

Beliau yakin melalui dasar sedia ada oleh kerajaan kini, anak muda akan terus memberi keutamaan untuk memilih keadilan sebagai tonggak dan peneraju kepimpinan negara namun harus dibantu oleh AMK melalui kerja keras yang jitu.

“Maknanya Angkatan Muda kena jadi tokoh di akar umbi, kena jadi pemimpin dan memimpin anak-anak generasi masa depan.

“Ini pertarungan pada pilihan raya yang akan datang…pertaruhan siapa yang dapat anak muda dan siapa yang dapat menguasai anak muda.

“Dengan pimpinan sedia ada, saya yakin dengan dasar yang sedia ada saya yakin, yang penting ialah kerja…kalau kerja saya yakin undi muda akan terus dapat kepada Keadilan dan Pakatan Harapan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast