Dr. Sani Araby menyantuni seorang warga emas dengan memberikan sumbangan pada Program Jelajah Peduli Ummah di Dataran Sungai Tua, Selayang, semalam.

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM) melancarkan program Jelajah Peduli Ummah di Dataran Sungai Tua, Selayang semalam yang bertujuan memperkukuh semangat perpaduan dan menyemai kesedaran kemanusiaan dalam masyarakat.

MAPIM dalam kenyataan memaklumkan, program yang mendapat kerjasama Pejabat Menteri Besar Selangor dan agensi tempatan memberi manfaat kepada lebih 200,000 individu di seluruh negara.

Katanya, untuk edisi 2024, MAPIM sudah merancang 100,000 lagi penerima manfaat melalui beberapa siri jelajah dengan kerjasama daripada ZUS Coffee sebagai rakan penaja.

“Program kali ini merangkumi pelbagai aktiviti komuniti seperti klinik kesihatan bergerak, sukaneka, penyediaan makanan secara bergotong-royong iaitu rewang perdana dan ziarah mahabbah ke rumah keluarga asnaf.

“Program turut disertai isteri Menteri Besar Selangor, Datin Seri Masdiana Muhamad yang menjadi juri untuk pertandingan memasak, rewang perdana dan bersama menyatuni asnaf ziarah mahabbah,” katanya.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika merasmikan penutup program berkenaan berkata, kepedulian bukan sekadar bermaksud membawa bakul makanan untuk mereka yang memerlukan, tetapi kepedulian merangkumi maksud yang luas.

Katanya, kesihatan, budaya, sosial itulah yang ditunjukkan oleh MAPIM bukan sahaja membawa bantuan makanan tetapi juga program-program seperti mobile clinic, mobile kitchen yang mengharmoni dan mensejahterakan masyarakat.

“Ini adalah langkah yang harus dipuji. Mereka bukan sahaja membantu di negara luar tetapi, juga di dalam negara kita ini sendiri.”

“Secara keseluruhan program penyerahan sumbangan kepada asnaf untuk 200 keluarga memerlukan dalam komuniti ini. Menekankan budaya peduli, meningkat kepedulian antara satu sama lain hubungan seperti saudara kita yang memerlukan sokongan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Dr. Sani Araby Al Kahery dalam kenyataan sama berkata, program berkenaan bukan sahaja menyampaikan bantuan kepada yang memerlukan, malah memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk berganding bahu dalam usaha kemanusiaan.

Jelasnya, sejak dilancarkan pada 2020, MAPIM bangga melihat Jelajah Peduli Ummah terus berkembang dan menyentuh lebih 200,000 jiwa.

“Kami berharap usaha ini akan terus membina perpaduan dan kekuatan di kalangan rakyat, selaras dengan semangat Malaysia Madani.” Ujarnya.

Hampir 10,000 orang mengunjungi Program Jelajah Peduli Ummah Sungai Tua dengan rata-rata pengunjung berpuas hati terhadap pengisian program seiring dengan laungan Malaysia Madani oleh kerajaan.

Program anjuran NGO itu mendapat sambutan luar jangkaan, dengan ramai pengunjung menyatakan rasa kagum terhadap inisiatif yang berjaya membawa suasana seperti sebuah karnival.

Dengan pelaksanaan program tersebut, MAPIM Malaysia berhasrat untuk memperluaskan impak bantuan kemanusiaan, meningkatkan akses bagi menjejak keperluan penerima dengan membina jaringan kerjasama komuniti.

Program itu membuka ruang kepada masyarakat untuk lebih aktif menyokong usaha kemanusiaan serta memperkukuh semangat kebersamaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast