Chow Kon Yeow

BUTTERWORTH – Pulau Pinang akan membentangkan Belanjawan 2025 pada 22 Nov ini, dengan fokus utama untuk mencapai keseimbangan fiskal bagi mengurangkan defisit yang dialami sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pembentangan kali ini juga dijangka akan menawarkan pendekatan yang lebih mampan, dengan menumpukan terhadap usaha mencari sumber hasil baharu, tanpa perlu mengurangkan perbelanjaan penting bagi pembangunan dan kebajikan rakyat.

Bagaimanapun, beliau berkata cabaran dihadapi adalah untuk mencari sumber hasil yang mencukupi bagi mengurangkan jurang defisit, tetapi usaha sedang dilakukan supaya kerajaan dapat meneruskan inisiatif kebajikan untuk rakyat seperti yang dirancang.

“Kita cadang untuk membentangkan bajet yang lebih seimbang memandangkan kebelakangan ini kita mencatatkan defisit dan fokus tahun depan adalah untuk mengimbanginya dengan menambahkan saluran dan sumber hasil.

“Kebarangkalian kita tidak mengurangkan perbelanjaan, tetapi perlu dana yang mencukupi untuk mengimbangi keadaan supaya tidak menjejaskan pembangunan dan kebajikan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian penutup Pengan Go Digital Carnival di Butterworth Arena di sini, hari ini.

Chow dalam pada itu menjelaskan Belanjawan 2025 Pulau Pinang akan meneruskan komitmen terhadap perbelanjaan pengurusan, yang sebahagiannya meliputi projek-projek sedia ada dan bakinya adalah untuk projek-projek baharu.

Di samping itu, beliau berkata sebanyak 20 peratus daripada hasil juga akan disalurkan kepada program kebajikan rakyat meliputi pelbagai inisiatif dan langkah itu menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memastikan keperluan rakyat dipenuhi, sambil mengekalkan kestabilan kewangan yang lebih mampan.

Tahun lepas kerajaan negeri membentangkan Belanjawan 2024 berjumlah RM1.422 bilion dengan anggaran defisit RM514.53 juta.

Sementara itu, Chow menyeru supaya agensi kerajaan, pihak industri, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) supaya berganding bahu dalam memastikan setiap rakyat di Pulau Pinang, mendapat akses kepada teknologi digital seterusnya meningkatkan literasi digital ke arah merealisasikan visi Penang2030.

Beliau berkata meskipun kebanyakan individu hari ini sudah didedahkan dengan teknologi, namun jurang digital masih wujud dalam kalangan masyarakat termasuk di Pulau Pinang.

Sehubungan itu Chow berkata penganjuran karnival seperti Karnival Penang Go Digital yang dianjurkan oleh Digital Penang hari ini, dapaf memberi peluang kepada masyarakat untuk meneroka lebih banyak peluang dalam platform digital khususnya e-dagang.

Karnival sehari itu yang mendapat kerjasama lebih 40 pempamer merekodkan kehadiran 1,000 pelawat dengan turut menampilkan 10 sesi perkongsian serta bengkel berkaitan teknologi dan inisiatif digital. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast