Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berucap merasmikan Konvensyen Biasa Negeri DAP Selangor 2024 di Pusat Konvensyen Ideal, Shah Alam, hari ini. Foto: NIZAM ZAIN, 10 NOVEMBER 2024

SHAH ALAM – DAP tidak akan mengganggu rundingan yang sedang berjalan antara wakil parti itu dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam mendepani Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau sudah pun dimaklumkan perkembangan itu dan memberi laluan sepenuhnya kepada Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe untuk memuktamadkan secepat mungkin.

“Baru semalam saya pergi Labuan, saya juga bersama pengerusi DAP Sabah, dia ada beri penerangan kepada saya berkenaan keadaan dinamik dan perkembangan politik di Sabah.

“Saya menaruh kepercayaan kepada kepimpinan baharu kita terutamanya pengerusi baharu kita Datuk Jin Zhe yang juga Menteri dalam Kabinet Sabah untuk menguruskan perkara ini.

“Sudah tentu apabila sampai masanya, kita kena buat keputusan, tapi masa untuk buat keputusan belum sampai,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, parti Sabah itu tidak memasukkan Pas dalam rundingan kerjasama bagi menghadapi PRN.

Masidi berkata, perkara itu mengambil kira kedudukan Pas dalam Perikatan Nasional (PN) dan GRS yang menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.

Selain itu, Loke berkata, DAP memberi kelonggaran dan autonomi kepada DAP Sabah untuk berunding dengan GRS susulan mereka sendiri mengganggotai Kerajaan Negeri Sabah ketika ini.

“DAP menaruh kepercayaan terhadap kepimpinan parti itu di Sabah khususnya pengerusi baharunya, Datuk Jin Zhe, Sabah itu DAP Sabah sedang bincang.

“Kita bagi kelonggaran dan juga antonomi kepada DAP Sabah untuk mereka berunding dan bincang dulu. Sebab keadaan di Sabah sudah tentu DAP Sabah lebih memahami sebab mereka berada dalam kerajaan negeri juga,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast