KUALA LUMPUR – Pengasas dan Pengerusi Eksekutif JL99 Group, Datuk Seri Jeff B K Lee terus mencatat sejarah sebagai tokoh korporat berjaya dengan sumbangan besar dalam pembangunan hartanah negara terutama di Lembah Klang.
Bagi menghargai sumbangannya, media Cina, Sin Chew Daily telah menerbitkan buku biografi Lee bagi mengupas perjalanan hidup serta liku-liku kejayaannya sebagai salah seorang pemaju hartanah terkenal di Malaysia.
Buku biografi yang mempunyai 200 muka surat itu akan dilancarkan dalam bahasa Cina terlebih dahulu sebelum diterjemahkan ke bahasa lain.
Selain Jeff Lee, Sin Chew Daily turut memilih tujuh lagi ahli korporat terkenal yang berperanan besar dalam pembangunan ekonomi negara untuk dijadikan inspirasi kepada pembaca.
Semasa majlis pelancaran buku tersebut yang diadakan di ibu kota, ia turut dihadiri oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim dan Jeff Lee menyatakan rasa teruja dengan pengiktirafan itu.
“Saya amat berbesar hati dan berterima kasih kepada Sin Chew Daily serta semua rakyat Malaysia khususnya pembeli unit rumah JL99 yang sentiasa menyokong projek-projek kami,” katanya.
Beliau juga berkongsi kejayaan besar JL99 Group dalam pelbagai projek pembangunan.
Antaranya, projek pembangunan semula Razak Mansion di Sungai Besi yang menjadi perintis kepada usaha transformasi flat lama kepada pangsapuri kos sederhana yang moden.
Projek berkenaan mendapat sokongan padu daripada 100 peratus penghuni Razak Mansion yang kini hidup selesa di kediaman baharu mereka.
“Razak Mansion kini menjadi penanda aras bagi projek pembangunan semula di Malaysia,” ujarnya.
Untuk makluman, JL99 yang mula bertapak sejak tahun 1995 mengakui menempuh situasi ketidaktentuan pasaran hartanah dan perumahan sejak pandemik Covid-19 melanda negara pada tahun 2020.
Bagi mencari kelainan dan terus berdaya saing dalam suasana industri mencabar, pemaju hartanah tempatan itu kini mengorak langkah membangunkan projek kediaman eksklusif mampu milik dengan pelbagai fasiliti menarik.
Syarikat kini sedang membangunkan JL Legacity @ KL North di Jalan Kuching, bersebelahan Bulatan Batu Caves dengan nilai pembangunan kasar (GDV) lebih RM2 bilion. -MalaysiaGazette