Timbalan Menteri Kewangan yang juga Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 11 NOVEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Defisit fiskal berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2024 dijangka berkurang kepada 4.3 peratus berbanding 5 peratus seperti mana yang dicatatkan pada 2023.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, kedudukan defisit fiskal diunjur terus berkurang kepada 3.8 peratus pada 2025 seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2025.

“Dalam jangka sederhana, kerajaan mensasarkan defisit fiskal lebih rendah kepada 3.0 peratus seperti digariskan di bawah kerangka Ekonomi Madani dan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 [Akta 850].

“Dalam Belanjawan 2025, Kerajaan telah mengumumkan beberapa langkah bagi meningkatkan hasil termasuk semakan semula kadar cukai jualan, peluasan skop cukai perkhidmatan dan pengenalan cukai dividen bagi meluaskan asas cukai,” katanya pada sesi jawapan menteri dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu Ahli Parlimen Tebrau-PH, Jimmy Puah Wee Tse meminta Menteri Kewangan menyatakan adakah kerajaan mempunyai perancangan untuk memperkenalkan lebih banyak dasar mengenai reformasi fiskal bertujuan untuk mengukuhkan kewangan negara serta menguatkan ekonomi dalam negara.

Menurut Hui Ying, kerajaan akan menambah baik program pemberian subsidi pukal kepada mekanisme yang lebih bersasar bagi meningkatkan kecekapan perbelanjaan negara.

“Penubuhan jawatankuasa khas bagi merasionalisasi badan berkanun dalam menangani pertindihan fungsi seterusnya memastikan perbelanjaan yang lebih efisyen dan efektif,” katanya.

Katanya, kerajaan juga akan meneruskan inisiatif pembaharuan fiskal termasuk merangka Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS) bagi meningkatkan mobilisasi hasil serta meneruskan penyasaran subsidi secara berperingkat.

“Kerajaan juga sedang melaksanakan langkah pembaharuan institusi dan tata kelola termasuk penambahbaikan mekanisme kerjasama awam-swasta (PPP) seperti yang digariskan di bawah Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030).

“Turut dilaksanakan Penggubalan Akta baharu untuk menambah baik perolehan Kerajaan dan memperkukuh tadbir urus syarikat milik kerajaan (SOE) yang dijangka meningkatkan kredibiliti dan keberkesanan pengurusan kewangan awam,” katanya.

Selain itu, katanya, pengenalan dokumen strategik utama serta penambahbaikan gaji minimum dijangka mampu memacu perkembangan aktiviti ekonomi dan perniagaan seterusnya menyumbang kepada objektif pembangunan negara.

“Ini termasuklah menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kebangsaan (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Program Pengaktifan dan Reformasi Badan Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP),” katanya.

Katanya lagi, pemakaian Akta 850 akan meningkatkan tadbir urus, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam pengurusan kewangan awam.

“Kerajaan kekal komited untuk mengukuhkan kedudukan kewangan melalui pelaksanaan dasar fiskal berhemat bagi menyokong aktiviti ekonomi dan melindungi kesejahteraan rakyat selari dengan aspirasi kerangka Ekonomi Madani,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast