KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) memberi amaran bakal mengambil tindakan terhadap mana-mana institusi pendidikan di bawah agensi itu yang menyorok kes buli.
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki juga menegaskan, tindakan turut akan diambil terhadap pengetua institusi berkenaan termasuk Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).
“Jika saya dapat maklumat ada usaha menyorokkan maklumat dan menutup kes-kes berkaitan buli atas apa jua alasan.
“TPM (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri Zahid Hamidi telah mengarahkan saya untuk turut ambil tindakan tegas termasuk menukar Pengetua, Pengarah MRSM atau IPMA yang terbabit,” katanya di Facebook, hari ini.
Asyraf turut berkata beliau tidak akan berkompromi terhadap pelaku buli di mana mana-mana Institusi Pendidikan MARA (IPMA) termasuk MRSM, Institut Kemahiran Malaysia (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) (UPTM).
“Saya tidak kira anak pembesar ke, anak orang kenamaan berpengaruh sekalipun jika didapati melakukan perbuatan buli, mereka tiada tempat di IPMA; “YOU TOUCH YOU GO!”,” tegasnya.
Hari ini, media melaporkan, sembilan individu yang dikaitkan dengan dakwaan kes buli terbaharu di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) telah dirakam keterangan oleh polis.
Semalam, negara dikejutkan dengan satu lagi insiden buli melibatkan seorang kadet tentera UPNM berusia 19 tahun yang mengalami patah tulang belakang dan rusuk selepas diserang oleh kadet lain.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kejadian 21 Oktober lepas, seorang kadet tahun tiga telah memijak mangsa sehingga mengakibatkan kecederaan.
Polis hanya menerima laporan pada 8 November lalu.
Serangan itu berlaku lebih seminggu sebelum seorang lagi kadet didera dengan seterika panas di universiti yang sama. – MalaysiaGazette