BALIK PULAU – Polis menahan empat lelaki di beberapa lokasi berbeza sekitar Sungai Ara dan Bayan Lepas di sini semalam, selepas disyaki merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun secara bergilir-gilir.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, kesemua suspek berusia antara 20 hingga 25 tahun itu ditahan selepas mangsa yang masih bersekolah itu membuat laporan polis.
Jelas beliau, hasil siasatan mendapati mangsa dirogol bergilir-gilir oleh tiga suspek di rumah sewa mereka di Jalan Sungai Ara 3 di sini, pada Ahad lalu.
“Berdasarkan keterangan mangsa dia keluar dengan suspek pertama berusia 24 tahun yang dikenalinya sejak April lalu untuk bersiar-siar sekitar Relau sebelum dibawa balik ke rumah sewa suspek pada jam 2 pagi.
“Semasa di rumah tersebut suspek pertama merogol mangsa sebelum datang suspek kedua dan ketiga yang tidak dikenali bertindak melakukan perbuatan sama.
“Susulan itu, ketiga-tiga suspek serta mangsa keluar menonton lumba motosikal di Bayan Baru sebelum mangsa dirogol sekali lagi secara bergilir-gilir oleh tiga suspek yang sama sebaik pulang ke rumah sewa lelaki itu,” katanya dalam kenyataaan media hari ini.
Tambah Sazalee, mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk pemeriksaan lanjut manakala kesemua tangkapan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan iaitu merogol secara berkumpulan. – MalaysiaGazette