KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) telah menerima sebanyak 4,805 permohonan calon Orang Kurang Upaya (OKU) berbanding 1.13 juta keseluruhan permohonan iaitu 0.42 peratus sehingga 30 September lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, daripada jumlah, seramai 44 OKU telah dilantik dalam perkhidmatan awam berbanding jumlah keseluruhan pelantikan sebanyak 13,491 orang iaitu 0.33 peratus.
Menurutnya, ia melibatkan 39 orang dari kategori kurang upaya fizikal, kurang upaya pendengaran (tiga), kurang upaya mental dan kurang upaya penglihatan, masing-masing seorang.
“SPA membuat pelantikan berdasarkan merit dan kompetensi seseorang calon.
“Syarat pelantikan OKU adalah sama dengan pelantikan calon yang lain iaitu berdasarkan syarat lantikan skim perkhidmatan yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan
keperluan Ketua Perkhidmatan seperti keutamaan bidang pengajian, kelayakan, serta lokaliti atau jantina,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan V. Sivakumar (PH-Batu Gajah) yang minta Perdana Menteri menyatakan statistik pelantikan OKU dalam perkhidmatan awam mengikut kategori ketidakupayaan bagi 2023 dan 2024 serta perbandingan dengan jumlah
permohonan OKU dan langkah menangani ketidakseimbangan tersebut.
Mengulas lanjut, Zaliha berkata, bagi tahun 2023, SPA telah menerima sebanyak 6,177 permohonan dari calon OKU berbanding 1.19 juta keseluruhan permohonan.
Menurut beliau, seramai 92 OKU telah dilantik dalam perkhidmatan awam berbanding jumlah keseluruhan pelantikan sebanyak 25,520 orang di mana kategori calon kurang upaya fizikal merupakan pelantikan tertinggi melibatkan 74 orang.
“Ia diikuti dengan kurang upaya penglihatan seramai sembilan orang, kurang upaya pendengaran (lima), kurang upaya pelbagai (dua), kurang upaya pertuturan dan kurang upaya mental, masing-masing seorang,” katanya. – MalaysiaGazette