KUALA LUMPUR – Kumpulan pendesak pembaharuan pilihan raya Bersih (Bersih) menyifatkan pelantikan Peguam Negara yang baharu Datuk Mohd Dusuki Mokhtar tidak mencerminkan kesungguhan untuk melakukan reformasi institusi bagi mencapai tatakelola yang baik seperti yang sering dilaungkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Madani.
Kumpulan itu turut berpandangan proses lantikan penjawat awam utama seperti Peguam Negara ini haruslah melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPK) agar calon-calon Peguam Negara dibuat dengan lebih inklusif dan telus, malah boleh turut mendapatkan pandangan daripada pertubuhan masyarakat sivil.
“Proses lantikan Peguam Negara tidak menjadi isu sekiranya kerajaan sudah melaksanakan pemisahan bidang kuasa yang mana Peguam Negara tidak lagi menjadi pendakwa raya untuk mendakwa kesalahan undang-undang dan hanya bertanggungjawab menjadi penasihat undang-undang kerajaan.
“Malah Peguam Negara juga boleh dilantik dalam kalangan ahli Parlimen yang menjadi anggota Kabinet supaya boleh terlibat dalam mesyuarat kabinet dan menasihati dari sudut undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Bersih terus menggesa supaya Peguam Negara memainkan peranan untuk menyegerakan proses pemisahan akan bidang kuasa Peguam Negara dan pendakwa raya seperti yang dijanjikan Kerajaan Perpaduan.
“Bersih juga menuntut supaya tidak ada lagi amalan pemberian DNAA (melepaskan tanpa membebaskan) mahupun DNA (melepaskan dan membebaskan) oleh Jabatan Peguam Negara khususnya melibatkan pemimpin politik seperti sebelum ini, apatah lagi Ahmad Dusuki yang baru dilantik ini juga merupakan Penolong Pendakwa Raya yang telah memohon kepada Mahkamah Tinggi supaya Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendapat DNAA.
“Tindakan sebegini telah menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan undang-undang. Sebaliknya dalam kes yang telah dimulakan pendakwaan di mahkamah, ia harus diserahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan,” tambahnya.
Semalam, Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara (AGC), Datuk Mohd Dusuki Mokhtar dilantik sebagai Peguam Negara yang baharu, berkuat kuasa hari ini.
Pelantikan beliau diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Mohd Dusuki menggantikan Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan. – MalaysiaGazette