KUALA LUMPUR- Seorang pengarah syarikat bergelar Datuk direman enam hari kerana disyaki mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu membabitkan permohonan kuota pekerja asing untuk kelulusan Kementerian Sumber Manusia yang bernilai kira-kira RM 1.1 juta.
Permohonan reman sehingga 17 November itu dikeluarkan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuam Malaysia (SPRM) membuat permohonan di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor pagi tadi.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia sekitar 40-an yang merupakan warganegara Bangladesh ditahan kira-kira jam 9 malam semalam ketika hadir bagi memberi keterangan di SPRM Selangor.
“Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2023 dengan mengemukakan dua permohonan kuota melibatkan 600 pekerja asing oleh syarikat berkenaan sedangkan pembekalan tenaga kerja bagi projek yang dikemukakan tidak wujud.
“Dua permohonan ini melibatkan pembayaran levi kira-kira RM650,000 dan RM460,000,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. -MalaysiaGazette