KUALA LUMPUR – Persidangan Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mendakwa sebuah bank penyelidikan menjangkakan nilai ringgit akan jatuh sehingga RM4.50 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
beliau berkata, ringgit akan terus menyusut dari RM4.10 kepada RM4.32 berbanding dolar AS selepas seminggu mata wang negara mengukuh sejak 24 September lalu.
“Yang Berhormat, saya masih ingat, masa duit kita naik RM4.10, kemudian esoknya turun RM4.12. Yang Berhormat dan Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan, ini kali pertama naik dengan begitu tinggi, kemudian Yang Berhormat kata ekonomi kita kukuh.
“Sekarang saya nak tanya, kenapa duit kita, seminggu selepas itu turun kepada RM4.32. Tiga hari lepas saya tengok sampai RM4.40, jatuh, pasal rakyat Malaysia dan orang muda nak tengok.
“Kalau ikut bank penyelidikan, duit ini (ringgit) mungkin jatuh sampai RM4.50,” katanya ketika bertanyakan kepada Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada Sesi Kementerian Kewangan Menjawab Perbahasan Belanjawan 2025 Peringkat Dasar Tahun 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.
Berang dengan dakwaan itu, Ahli Parlimen Kampar-PH, Chong Zhemin bangkit dan meminta Timbalan Yang DiPertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng mengambil tindakan ke atas Shahidan mengikut Peraturan Mesyuarat 36 (12) kerana mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan Dewan.
“Peraturan mesyuarat 36(12), mengelirukan dewan, tadi Arau kata bank penyelidikan kata ringgit jatuh, saya nak tanya bank penyelidikan mana?
“Sebab semua bank penyelidikan kata, tahun depan ringgit akan naik, paling kurang RM4 berbanding dolar AS.
“Arau, mana bank penyelidikan cakap ringgit jatuh, cakaplah,” katanya.
Lau Kiong kemudiannya menegur Zhemin dan meminta beliau mengemukakan usul jika ada keperluan mengenai perkara tersebut.
“Ahli-Ahli Yang Berhormat, jangan bazir masa Yang Berhormat Menteri (Kewangan II) untuk menjawab.
“Kalau rasa ada usul, sila hantar usul, saya minta Yang Berhormat Menteri (Kewangan II) untuk teruskan jawapan,” katanya.
Kemudian, Ahli Parlimen Bachok (PN), Mohd Syahir Che Sulaiman mencelah dalam perbalahan itu sambil meminta Ahli Parlimen Kampar itu bertanyakan perkara tersebut di platform TikTok.
“Kampar tanya kat TikTok laa Kampar,” katanya.
Selain itu, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari pula mempersoalkan Zhemin yang bertindak sedemikian sedangkan beliau bukan Menteri Kewangan.
“Kampar ini menteri ker ni, biar menteri jawablah,” katanya.
Lau Kiong kemudiannya menegur kedua-dua Ahli Parlimen itu dan meminta untuk keluar Dewan Rakyat jika mahu meneruskan perbalahan.
“Yang Berhormat Arau dan Yang Berhormat Kampar, kalau mahu gaduh, keluar dari dewan dulu,” katanya. – MalaysiaGazette