KUALA LUMPUR – Sebanyak enam ekor Harimau Malaya mati dilanggar termasuk dalam satu kejadian di Jalan Raya Timur-Barat Gerik, Perak pada 9 November lalu, menunjukkan peningkatan sejak akhir-akhir ini antara 2023 hingga 2024.
Menteri Sumber Asli Dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia menunjukkan habitat Harimau Malaya telah terganggu hingga menyebabkan haiwan liar itu terpaksa keluar daripada habitat semula jadinya.
“Lebih menyedihkan apabila beberapa bahagian Harimau Malaya tersebut termasuk taring, kuku dan kulit telah hilang dan disyaki telah dicuri.
“Tindakan ini adalah satu kesalahan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716]. Akta 716 telah dipinda pada 2022, bagi meningkatkan kadar hukuman dan penalti melibatkan kesalahan berkaitan hidupan liar.
“Hidupan liar dilindungi sepenuhnya seperti Harimau Malaya, atau mana-mana bahagian atau terbitannya seperti gigi, tulang, kulit, lemak atau darah, apabila disabitkan kesalahan boleh dihukum.
“Denda tidak kurang dari RM150,000 bagi setiap hidupan liar atau bahagian atau terbitan hidupan liar itu dan dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan seekor harimau belang mati akibat dilanggar lori di KM67.1 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli berdekatan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Titiwangsa, Gerik, Sabtu lalu.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff yang mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kemalangan jalan raya itu sekitar jam 9 pagi.
Katanya, keadaan bangkai harimau terbabit hancur susulan kemalangan yang berlaku sekitar jam 5.30 pagi.
Menurut Nik Nazmi, dengan bilangan populasi dianggarkan kurang dari 150 ekor, NRES terus komited untuk melindungi dan memulihara Harimau Malaya bagi memastikan spesies ikonik yang menjadi simbol Jata Negara ini tidak pupus.
“Ini adalah selaras dengan pelaksanaan 9 tindakan strategik luar biasa bagi konservasi Harimau Malaya yang dipersetujui oleh Jemaah Menteri pada 21 Jun 2021.
“Komitmen tinggi kerajaan dizahirkan melalui penubuhan Pasukan Petugas Kebangsaan bagi Konservasi Harimau Malaya (MyTTF), pengukuhan rondaan penguatkuasaan dan pengawalan oleh Renjer Komuniti dan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK), selain Biro Jenayah Hidupan Liar di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.
Katanya, sejak awal penubuhannya pada 2020, bilangan Renjer Komuniti telah meningkat, dari 1,000 orang pada 2023; 2,000 (2024) kepada 2,500 Renjer Komuniti pada tahun hadapan dengan peruntukan sebanyak RM80 juta.
“Kerajaan juga mengukuhkan usaha dalam memastikan kelangsungan hidup Harimau Malaya melalui Insentif Kewangan bagi Konservasi Biodiversiti dan Hutan (EFT) kepada negeri-negeri bermula pada 2019 dengan peruntukan sebanyak RM60 juta.
“Di bawah Kerajaan Madani, peruntukan ini telah ditingkatkan kepada RM150 juta pada 2023, RM200 juta pada tahun ini dan RM250 juta pada tahun hadapan,” katanya.
Katanya lagi, kerajaan negeri juga digalakkan untuk mengukuhkan pemuliharaan habitat Harimau Malaya melalui skim akreditasi Conservation Assured | Tiger Standards (CA|TS).
“Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia telah menubuhkan Unit Wildlife Cybercrime untuk memantau dan pengumpulan maklumat aktiviti penjualan haram hidupan liar secara dalam talian,” katanya.
“NRES menggesa masyarakat umum untuk menghubungi pejabat Jabatan Perhilitan terdekat atau talian hotline 1-800-88-515 atau talian kecemasan umum PDRM sekiranya mempunyai maklumat mengenai insiden Harimau Malaya mati dilanggar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
kerajaan adalah kerajaan. semua menerima bayaran cukai dari rakyat. tak perlu tambah hadhari, madani bagai la. lain la klu dana sepenuhnya diambil dari parti politik madani. barulah boleh sebut madani bagai. rakyat yang bayar cukai belaka tu bukan hadhari, madani pun.. tak abih b0d0 p0lit4ikus