KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) akan mewajibkan fasiliti kesihatan swasta memaparkan harga ubat bermula tahun depan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu bagi meningkatkan ketelusan dan harga ubat agar tidak dinaikkan sewenang-wenang.
“Dengan cara ini, caj ubat-ubatan dalam tuntutan insurans boleh disemak supaya harga ubat tidak melebihi harga yang dipaparkan dan caj ubat-ubatan tidak sewenang-wenangnya dinaikkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat dasar kementeriannya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, KKM ketika ini hanya mengawal fi profesional yang dikawal selia berkuat kuasa sejak 2006.
Beliau berkata, ia melalui Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586), Jadual Ketiga Belas, Perintah Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta Lain) (Pindaan 2013).
“Manakala fi hospital terdiri caj perkhidmatan kejururawatan, caj peralatan perubatan, caj alat pakai buang (jarum, picagari, kain kasa dan lain-lain), caj ujian makmal dan caj ubat-ubatan, tidak dikawal selia oleh KKM,” katanya. – MalaysiaGazette