SHAH ALAM- Pelakon Nur Fazura Sharifuddin mendapat hak penjagaan penuh anaknya, Nur Fatima Aisya manakala bekas suami, Fattah Amin diberi hak lawatan.
Peguam syarie yang mewakili Fazura, Fakhrul Azman Abu Hassan berkata, prosiding hadanah diselesaikan dengan baik di Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam, pagi tadi.
Fazura dan Fattah turut hadir ke mahkamah pagi tadi untuk prosiding berkenaan.
“Sebelum ini, Fattah sudah bersetuju hak penjagaan diberikan kepada Fazura dan hak lawatan kepadanya.
“Ia sudah ditandatangani dan hari ini kami rekodkan sebagai satu perintah mahkamah. Sebelum persetujuan ini kami sudah baca di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari.
“Hari ini kami hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah untuk menjadikan persetujuan ini dikuatkuasakan sebagai satu perintah,” katanya.
Sementara itu, peguam yang mewakili Fattah, Syamimi Ab Rahman berkata, keputusan dibuat selepas kedua-dua belah pihak bersetuju dengan terma yang telah ditetapkan.
“Untuk hak lawatan ada dua terma iaitu lawatan bermalam dan lawatan harian.
“Untuk lawatan bermalam, Fattah diberikan hak sebanyak dua kali dalam sebulan bergantung kepada kelapangan Fattah iaitu jemput Fatimah pada hari Jumaat dan pulangkan semula pada hari Ahad.
“Fattah juga perlu memaklumkan dua hari sebelum minggu lawatan untuk bermalam dengan Fatimah.
“Manakala, untuk lawatan harian dan tanpa bermalam, beliau dibenarkan untuk meluangkan masa bersama Fatimah sebanyak tiga kali seminggu,” kata Syamimi.
Pasangan pelakon ternama itu sah bercerai talak satu pada 7 Oktober lalu di hadapan Hakim Syarie, Abdul Malik Soleh di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam. -MalaysiaGazete