Dominic Lau

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan menuntut Kerajaan Perpaduan minta maaf atas tindakannya menghasut rakyat untuk menentang Lynas sebelum ini jika berhasrat membenarkan kilang Lynas beroperasi jangka Panjang di negara ini.

Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai mendakwa, semasa menjadi pembangkang, para pemimpin Pakatan Harapan (PH) telah menipu rakyat dan organisasi alam sekitar, menghasut mereka untuk turun ke jalan memprotes Lynas.

Namun sekarang, mereka seolah-olah menjadi penyokong Lynas, bukan sahaja melanjutkan lesen operasi, malah merancang untuk meluluskan pembukaan barisan pengeluaran baharu bagi memproses unsur nadir bumi.

“Tidak memalukan untuk memohon maaf kepada rakyat atas kesalahan sendiri, yang memalukan adalah apabila menipu rakyat dan kemudian menggunakan alasan yang tidak masuk akal untuk merasionalisasikan kesalahan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan tersebut, Dominic Lau berkata, jika kerajaan benar-benar ikhlas dalam usaha memerangi berita palsu, mereka juga harus mempertimbangkan penggubalan undang-undang untuk mengambil tindakan terhadap pemimpin politik yang terlibat dalam memberikan janji palsu kepada rakyat. Anwar seharusnya menjadi individu pertama yang disiasat dan diambil tindakan.

Dari tindakan kerajaan beberapa bulan kebelakangan ini, jelas ada niat untuk membina hubungan jangka panjang dengan Lynas dan kerajaan yang berhasrat untuk menghalalkan operasi nadir bumi ini adalah permulaan, tambahnya.

“Sekarang jika kita membuka akhbar atau melayari laman sesawang, kita akan melihat pemimpin PH pada masa lalu sering melakukan apa sahaja untuk meraih undi, termasuk memutarbelitkan fakta, menghasut kebencian rakyat, serta menyebarkan kenyataan yang tidak benar untuk memperdaya rakyat.

“Ini mengingatkan saya pada satu ungkapan yang selalu diulang oleh pemimpin PH, ‘apa yang Barisan Nasional tidak mampu lakukan, PH akan buktikan”

“Saya berharap agar pemimpin PH berhenti mempermainkan pengundi dengan taktik simpati. Sekarang kamu adalah kerajaan, keputusan sama ada Lynas perlu pergi atau kekal bergantung sepenuhnya pada kamu,” ujar beliau.

Bulan lalu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, perubahan pendirian PH berhubung penerusan operasi syarikat perlombongan nadir bumi Australia, Lynas Corporation di Malaysia kerana sebelum ini Malaysia dijadikan tempat pembuangan produk sampingan sisa.

Katanya, syarikat itu membawa masuk bahan mentah dari Australia untuk diproses, dan bahan diproses dihantar balik manakala produk sampingan sisa disimpan di Malaysia.

“Dulu, (Malaysia) jadi tempat buangan dan tambah nilai (daripada pelaburan Lynas) sedikit sahaja,” katanya dalam episod terbaru audio siar, Yang Bakar Menteri.

Beliau berkata demikian selepas Eric See-To mempersoalkan perubahan pendirian PH, yang sebagai pembangkang ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi perdana menteri mendakwa operasi Lynas berbahaya.

Tambahnya, sebelum PH mentadbir sebagai Kerajaan Persekutuan, tiada pemetaan mineral mengenai potensi nadir bumi mahupun sebarang permintaan untuk mineral tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here