KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Harapan mencabar Datuk Wan Saiful Wan Jan untuk mengemukakan bukti konkrit berhubung dakwaannya wujud penyelewengan dalam proses perlantikan pengendali kedua 5G dan tidak hanya menimbulkan fitnah semata-mata.
Ketua Penerangannya, Ammar Atan berkata, cabaran ini dibuat kerana rakyat memerlukan pemimpin yang berpegang pada prinsip dan bertindak demi kepentingan bersama, bukan sekadar ‘lantang’ pada masa tertentu sahaja.
Menurut Ammar beliau hairan dengan sikap Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu yang kini lantang mengkritik keputusan kerajaan melantik pengendali kedua 5G.
Tambangnya, Tindakan Wan Saiful mempertikaikan ketelusan dan keperluan langkah ini, seolah-olah kerajaan mengabaikan kepentingan rakyat.
Sikap ini didakwa bertentangan dengan diam Wan Saiful ketika Kerajaan Perikatan Nasional (PN) memberikan kontrak eksklusif kepada Digital Nasional Berhad (DNB), yang jelas mencipta monopoli tanpa sebarang persaingan atau ketelusan.
Pada 2021, PN melantik DNB sebagai pengendali tunggal 5G di Malaysia, mencipta monopoli penuh yang tidak membuka ruang untuk syarikat lain bersaing.
“Bagaimanapun, Wan Saiful tidak pernah tampil mengkritik atau mempertikaikan monopoli ini, sekali gus menunjukkan sikap yang amat hipokrit beliau dengan keterbukaannya dalam mengkritik kerajaan sekarang,” katanya dalam kenyataan di sini.
Ammar berkata, langkah terkini kerajaan untuk memperkenalkan pengendali kedua jelas bertujuan untuk memastikan persaingan sihat dan meningkatkan kualiti perkhidmatan demi manfaat rakyat.
“Dengan membuka ruang persaingan, pengguna kini mendapat lebih banyak pilihan dengan harga yang lebih kompetitif, berbanding monopoli yang memaksa rakyat bergantung kepada satu penyedia.
“Tindakan kerajaan ini, selayaknya mendapat pengiktirafan dari pihak pasaran, seperti yang disebutkan oleh Tan Sri Vincent Tan,” ujarnya.- MalaysiaGazette