KUALA LUMPUR – Indeks seunit harga keratan keluli & logam merekodkan penurunan antara negatif 0.6 peratus hingga negatif 4.9 peratus bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada Oktober 2024 berbanding bulan lepas.
Penurunan tertinggi bagi indeks harga seunit bahan ini dicatatkan di Perak (-4.9%), diikuti dengan Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (-2.0%) serta Pulau Pinang, Kedah dan Perlis (-1.2%).
Jabatan Perangkaan Malaysia berkata, indeks harga seunit besi dengan peratus penurunan antara negatif 0.4 peratus hingga negatif 3.2 peratus bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Selain daripada itu, indeks harga seunit simen juga telah mencatatkan penurunan kecil iaitu antara negatif 0.1 peratus hingga negatif 0.7 peratus bagi beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada Oktober 2024.
Perbandingan tahunan untuk tempoh Oktober 2023 dan Oktober 2024 menunjukkan indeks harga seunit simen merekodkan peningkatan antara 0.2 peratus hingga 3.0 peratus bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Peningkatan tertinggi dicatatkan bagi kawasan Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (3.0%), diikuti dengan Johor dan Pahang, masing-masing 2.7 peratus.
Namun, perbandingan tahunan indeks harga seunit besi pula mencatatkan penurunan antara negatif 0.8 peratus hingga negatif 4.2 peratus pada Oktober 2024 berbanding bulan yang sama tahun lalu bagi beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Dalam pada itu, purata harga simen (Ordinary Portland) kekal tidak berubah berbanding September 2024 dengan purata harga RM23.22 per 50 kg sekarung.
Purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 high tensile deformed bars merekodkan penurunan kecil (-1.0%)
dengan purata harga RM3,631.58 bagi setiap tan metrik berbanding bulan sebelumnya (September 2024: RM3,667.96 per tan metrik), tambah Jabatan Perangkaan lagi. – MalaysiaGazette