Yahaya Othman

KUANTAN – Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Pahang telah membuka 1,877 kertas siasatan melibatkan kerugian berjumlah RM81 juta sejak bulan Januari sehingga Oktober tahun ini.

Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, jumlah kes yang direkodkan bagi tahun ini menurun sebanyak 8.4 peratus berbanding tempoh sama bagi tahun lepas iaitu sebanyak 2,049.

“Dari segi tangkapan pula, JSJK Pahang telah melaksanakan sebanyak 1,449 tangkapan yang melibatkan kesalahan tipu, pinjaman wang ah long dan lain-lain kesalahan.

“Meneliti kepada statistik pertuduhan pula, JSJK Pahang telah melaksanakan pertuduhan bagi 1,412jumlah kertas siasatan tersebut termasuk 465 laporan National Scam Response Centre (NSRC),” katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan bagi bulan November 2024 di Perkarangan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang, di sini hari ini.

Sementara itu, beliau memberitahu, jumlah kemalangan jalan raya yang dilaporkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Pahang, bagi tempoh Januari sehingga Oktober mencatat peningkatan sebanyak 4.1 peratus berbanding tahun lepas.

Katanya, sebanyak 20,324 kes kemalangan jalan raya dilaporkan tahun ini berbanding 19,526 kes bagi tempoh sama pada tahun lepas.

“Bagaimanapun, kes membabitkan kemalangan maut bagi tempoh sama mencatat penurunan sebanyak 5.3 peratus iaitu 360 kes tahun ini berbanding 380 kes tahun lepas,” katanya lagi.

Beliau turut memberitahu sebanyak 170,351 notis saman telah dikeluarkan JSPT Pahang atas pelbagai kesalahan lalu lintas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast