Mohd Fared (tengah) menyaksikan penyerahan replika cek daripada Hasrin kepada Jannariah Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU – Hasrat keluarga peneroka dari Felda Maokil 1, Labis, Muar untuk membawa pulang Md Hussin Parawangai, 68, yang terlantar akibat koma di Madinah sejak tiga bulan lalu akan tercapai.

Isterinya, Jannariah Kimun, 62, bersyukur hasrat mereka sekeluarga dapat ditunaikan selepas pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) menyalurkan bantuan RM65,954.

“Kami sekeluarga bersyukur kerana MAINJ menyalurkan bantuan bagi membawa pulang suami saya.

“Saya bersyukur dengan keprihatinan MAIJ dan orang ramai dalam usaha membantu keluarga kami, hanya Allah mampu membalas jasa kalian.

“Perasaan saya bercampur baur kerana bakal bertemu suami yang terlantar dan menerima rawatan di Madinah sejak tiga bulan lalu,” katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas menerima replika cek bantuan daripada MAINJ di Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan di sini semalam.

Replika cek berkenaan disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Mohd Fared Mohd Khalid dan Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Hasrin Kamal Hashim.

Jannariah berkata, penerbangan suaminya dijadualkan pada pukul 4 petang waktu Malaysia hari ini.

Menurutnya, dua anak perempuan mereka iaitu anak sulung perempuan, Noriza, 39, dan anak kedua, Norain, 38, kini berada di Madinah.

Sementara itu, Mohd Fared berkata, sumbangan terbabit bagi menampung kos pegawai perubatan dan peralatan serta tiket penerbangan ke Malaysia.

“Syukur sangat bila kita dapat membantu mereka yang terputus bekalan dalam perjalanan. Mereka ini di panggil sebagai Asnaf Ibnu Sabil.

“Pak Cik Hussin terkandas di kota Madinah kerana jatuh sakit masa menunaikan umrah sejak Julai tahun ini (dan tidak dapat pulang) akibat kekangan kewangan,” ujarnya.

Pada 5 Oktober lalu, portal ini melaporkan Md Hussin menghadapi serangan jantung di lobi sebuah hotel di Madinah semasa mengerjakan umrah.

Md Hussin sepatutnya pulang ke negara ini pada 27 Julai lalu selepas mengerjakan umrah di tanah suci bersama tiga adik-beradik perempuannya.

Namun, empat hari sebelum jadual penerbangan pulang ke Malaysia dia mengalami komplikasi berkenaan.

Md Hussin ke tanah suci dengan niat untuk melancarkan urusan adik-beradik perempuan mengerjakan umrah terutama kakaknya yang dalam keadaan uzur.

Sebelum ini Jannariah hanya mampu melihat keadaan suaminya menerusi panggilan video.

Kos bagi membawa pulang suaminya dianggarkan melebihi RM80,000 dan keluarga berjaya mengumpul RM30,000 hasil sumbangan orang ramai.

Kos rawatan hospital di Madinah Cardiaz Center di Al Jamiah di Madinah dibiaya menerusi tuntutan insurans visa umrah.- MalaysiaGazette

Warga emas sudah dua bulan terlantar di Tanah Suci

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast