Ahli keluarga bergambar selepas Sidang media berkenaan Solidariti Muhammed Yusoff Rawther di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 12 November 2024.

KUALA LUMPUR – Ahli keluarga Muhammed Yusoff Rawter menggesa agar beliau dibebaskan dari Penjara Sungai Buloh kerana bimbang terhadap keselamatan bekas pembantu penyelidik seorang ahli politik itu.

Ibu saudaranya, Fathimah Mohd Idris berkata, mereka bimbang apa-apa boleh berlaku kepada anak saudara beliau ketika menunggu perbicaraan atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram.

“Kami mahu Yusoff dibebaskan daripada tahanan penjara. Kami berharap Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak membantah permohonan kami.

“Kerajaan tidak boleh bersikap dua muka, satu sudut nak longgarkan syarat penjara dengan melaksanakan tahanan rumah. Seksyen 41 (B)tidak berpelembagaan, jadi mengapa pelru bantah?

“Kami mahu dia keluar daripada penjara sekarang juga,” katanya pada sidang media ‘Keadilan Untuk Yusoff Rawter’, di sini, hari ini.

Hadir sama adik Yusoff, Ibrahim Rawter dan peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali.

Ibu, Fathima Mohd Idris becakap pada Sidang media berkenaan Solidariti Bersama Keluarga Muhammed Yusoff Rawther di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 12 November 2024.

Mengulas lanjut, Fathimah berkata, mereka mendapati keadaan Yusoff di penjara amat daif dan kini kehilangan berat badan.

“Mahkamah mesti ada budi bicara, baru ada keadilan. Tanpa hati perut mana boleh ada keadilan. Di penjara dia tidak makan sarapan kerana dia tidak boleh makan roti, makanan dia adalah nasi, kentang dan tauhu.

“Dia hilang berat badan, ini adalah penderaan dan tidak boleh dibenarkan di negara ini,” katanya.

Mahkamah Majistret hari ini memerintahkan kes Muhammed Yusoff dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Majistret M. S Arunjothy memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Izzat Amir Idham untuk memindahkan dan membicarakan kes berkenaan di mahkamah berkenaan.

Pada 12 September lalu, Muhammed Yusoff, 31, didakwa atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram, dalam kenderaan dinaikinya, di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, pada 10.15 pagi, 6 September lepas.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan juga hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan.

Pada 9 Oktober, Muhammed Yusoff didakwa di Mahkamah Majistret atas satu pertuduhan memiliki dua pucuk pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini, pada 9.25 pagi, tarikh sama (6 September).

Dia yang mengaku tidak bersalah didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast