KUALA LUMPUR – Sebanyak RM141.72 bilion pelaburan digital diluluskan kerajaan dalam tempoh Januari hingga Oktober lalu yang berjaya membuka 41,078 peluang pekerjaan dalam sektor ekonomi digital.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, selain itu, pelbagai inisiatif dilaksanakan kementerian untuk menarik lebih banyak pelaburan dalam ekonomi digital termasuk melalui kerjasama dengan syarikat tempatan dan antarabangsa.
Menurut beliau, ia seterusnya meningkatkan keyakinan pelabur terhadap pasaran Malaysia.
“Kementerian menetapkan bahawa pelaksanaan program dan inisiatif pendigitalan negara adalah mengutamakan pengukuhan infrastruktur digital, ketahanan siber dan juga pembangunan bakat digital.
“Tumpuan kita adalah untuk melihat bagaimana kita boleh menarik pelaburan, menarik lebih perhatian kepada Malaysia sebagai satu hab digital dan juga memberikan tumpuan supaya peluang pekerjaan baharu akan wujud di Malaysia bertujuan mendukung ekosistem baharu ini,” katanya.
Gobind menambah, Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IR) ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara (4IR).
“Buat masa ini, negara berada di Fasa 2 (2023 – 2025) apabila negara memberi tumpuan kepada usaha memacu transformasi dan inklusiviti digital dengan menitikberatkan inklusiviti dalam kalangan rakyat dan semua peringkat perniagaan.
“Fasa seterusnya 2026-2030 adalah untuk meletakkan Malaysia sebagai negara pengeluar pasaran serantau bagi produk digital dan penyedia penyelesaian digital,” katanya.
Sementara itu, menurut Gobind kerajaan negeri Johor sedang meneliti 36 permohonan bagi pembangunan infrastruktur pusat data di negeri berkenaan.
Gobind berkata, sehingga Oktober lalu, sebanyak 10 pusat data mula beroperasi manakala tujuh masih dalam proses pembangunan di negeri berkenaan. – MalaysiaGazette