Foto: Orang awam

IPOH – Pengguna terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas sejauh 13 kilometer (km) susulan insiden lori tangki terbalik dan melintang di KM 313.6 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Gopeng ke Tapah hari ini.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi hantaran di laman @llmtrafik memaklumkan setakat 7.34 malam, semua lorong masih ditutup.

“Laluan kontra masih diaktifkan, trafik sesak di kedua-dua arah sejauh 13 km. Sila gunakan laluan alternatif,” menurut hantaran itu.

Terdahulu, LLM melalui hantaran di laman yang sama memaklumkan bahawa kemalangan berlaku di lokasi tersebut pada pukul 9.05 pagi dengan semua lorong arah selatan terhalang dan trafik terhenti.

Susulan itu, LLM turut menasihatkan pengguna untuk merancang perjalanan masing-masing serta menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Persekutuan dengan keluar di Persimpangan Plaza Tol Gopeng.

Difahamkan, kesesakan masih berlaku akibat kren yang sepatutnya mengalihkan lori berkenaan mengalami kerosakan dan masih dalam proses dibaiki setakat ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Mohd Naim Asnawi dalam kenyataan memaklumkan kemalangan melibatkan sebuah lori tangki dan sebuah jip.

“Disyaki lori tangki hilang kawalan di lorong kiri dan terbabas melintang di tengah jalan. Tiada kemalangan jiwa,” katanya ringkas. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast