KUALA LUMPUR – Malaysia telah menghantar lebih 5,000 tan bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui sempadan Rafah yang memanfaat jutaan rakyat Palestin sejak Oktober 2023 hingga kini.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berkata, dengan kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO), semua sumbangan dan bantuan disalurkan melalui akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).
“AAKRP telah membelanjakan hampir RM45 juta kepada beberapa agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), NGO tempatan, dan agensi-agensi lain.
“Antaranya Pertubuhan Antarabangsa Serantau (UNRWA), Kedutaan Besar Malaysia di Unit Hal Ehwal Palestin di Aman, Jordan; NGO tempatan di bawah Op Ihsan, Persatuan Bulan Sabit Merah di Jordan, Mesir dan Palestin,” katanya ketika sesi jawapan menteri pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Mas Gading-PH, Mordi Bimol meminta Menteri Luar Negeri menyatakan pendirian semasa Kerajaan Malaysia serta bentuk bantuan kemanusiaan yang telah dihulurkan dan kos yang telah diperuntukkan antara 2023 hingga 2024 bagi krisis kemanusiaan Gaza sejak Perang Hamas-Israel yang bermula 7 Oktober 2023 sehingga kini.
Selain itu, katanya, Malaysia juga menyalurkan bantuan pendidikan kepada para pelajar Palestin yang sedang melanjutkan pelajaran di negara di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi dengan kemudahan pembiayaan dan elaun sara hidup.
“Bayaran universiti di IPTA kita bayar sepenuhnya, manakala di IPTS, kita telah minta mereka semua ini dapat memberikan diskaun, Alhamdulillah kebanyakan mereka telah memberi diskaun kepada para pelajar ini,” katanya.
Wisma Putra juga katanya memperkukuhkan kerjasama dengan Kerajaan Jordan untuk meneruskan misi bantuan kemanusiaan susulan penutupan pintu Rafah sejak 7 Mei lalu.
“Kini satu-satunya laluan bantuan yang masih beroperasi adalah melalui Lintasan Jambatan Raja Hussein di Jordan.
“Bahkan kita telah mendapat undangan dan telah bersetuju untuk turut serta dalam misi bantuan melalui penghantaran Air Bridge dengan kerjasama Kerajaan Jordan.
“Kita juga telah menyumbang AS$500,000 setiap satu kepada Pusat Kanser Raja Hussein dan Pertubuhan Amal Hashemite Jordan,” katanya.
Katanya lagi, Malaysia telah memberikan komitmen penuh dan turut serta dalam pembangunan semula Palestin.
“Ia penting bagaimana kita melihat sebuah negara yang mesti kita bantu dan mendapat kedaulatan dan dibina semula selepas pasca konflik ini,” katanya lagi. -MalaysiaGazette