KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meneruskan pelaksanaan program Menu Rahmah namun hanya difokuskan secara bersasar di kawasan tertentu bagi memastikan manfaatnya masih dinikmati golongan tertentu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihaknya akan membuat pemprofilan di kawasan bersesuaian seperti perumahan kos rendah dan golongan B40 serta berhampiran kilang.
Menurut beliau, pihaknya menyedari terdapat peniaga yang tidak mampu meneruskan penyediaan Menu Rahmah susulan menghadapi peningkatan kos.
“Program menu Rahmah akan diteruskan di kawasan berkenaan dan mungkin tidak diperluaskan di seluruh negara tetapi pelaksanaannya kepada golongan memerlukan.
“Kita sedia maklum ada peniaga-peniaga yang menyebut sudah tidak boleh menawarkan Menu Rahmah disebabkan faktor-faktor antaranya kos.
“Kita komited untuk memastikan Menu Rahmah terus ditawarkan secara bersasar, atas sebab itu kita sedang rundingkan tanpa melibatkan bantuan secara langsung dalam konteks subsidi secara langsung kepada peniaga tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat dasar, di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Program Menu Rahmah adalah program atau inisiatif baru KPDN yang diperkenalkan bersama rakan strategik yang terdiri daripada pengusaha kedai makan (bermasak) dan Persatuan Pengusaha Restoran Dan Gerai Makanan tahun lalu.
Ia sebagai usaha kerajaan membantu dan mengurangkan kos sara hidup terutama Golongan Miskin Tegar di kalangan B40.
Pengusaha kedai makan dan restoran yang menyertai Program Menu Rahmah telah bersetuju menyediakan makanan harian sama ada makan tengahari atau malam pada kadar tidak melebihi RM5.00 bagi satu hidangan.
Biasanya hidangan dalam Menu Rahmah ini mengandungi satu sumber protin samada ayam atau ikan dan satu jenis sayur. – MalaysiaGazette