Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi yang juga Ahli Parlimen Tanjong Malim, Chang Lih Kang pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 12 NOVEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Kementerian Teknologi, Sains dan Inovasi (MOSTI) memerlukan peruntukan tahunan lebih untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi meneroka tenaga nuklear sebagai tenaga boleh diperbaharui, di negara ini.

Menterinya, Chang Lih Kang berkata, walaupun MOSTI mendapat peruntukan tambahan sebanyak RM195 juta kepada RM595 juta dalam Belanjawan 2025, namun penerokaan tenaga nuklear melibatkan kos tinggi, apatah lagi untuk tujuan komersial.

“Setakat ini bajet memang tak cukup, buat masa ini kita ada peruntukan sebanyak RM595 juta untuk 2025, ini adalah satu peningkatan yang ketara dari tahun ini RM510 juta kepada RM595 juta.

“MOSTI dapat peruntukan tambahan hanya RM195 juta, dan dari RM595 juta, untuk kita membuat R&D dalam tenaga nuklear itu memang tidak mencukupi.

“Sekiranya kerajaan perlu membangunkan bakat atau R&D dalam bidang tenaga nuklear, kita perlukan bajet yang lebih dari apa yang ada sekarang,” katanya pada sidang media di Bilik Media, Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Lih Kang juga berkata, pihaknya tidak menafikan tenaga nuklear antara salah satu tenaga boleh diperbaharui dan kerajaan dalam peringkat untuk meneroka teknologi baharu itu.

“Setakat ini, melalui agensi Nuklear Malaysia, memang kita ada kira-kira 300 pegawai yang mempunyai kepakaran dalam pembangunan teknologi nuklear.

“Nuklear Malaysia juga mempunyai pengalaman untuk mengendalikan penyelidikan Reaktor Triga Puspati (RTP) lebih dari 40 tahun,” katanya.

Katanya lagi, walaupun Malaysia mempunyai kepakaran dalam bidang itu, namun kerajaan memerlukan lebih ramai bakat untuk mengendalikan tenaga nuklear pada masa hadapan.

“Mungkin lima hingga 10 tahun lagi untuk kita membangunkan lebih ramai bakat bukan sahaja ijazah bahkan sehingga ke peringkat PhD, kita masih perlu masa lagi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast