KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang menjalankan kajian terhadap permit diluluskan (AP) dan permit import (IP) bagi pengimportan barang makanan iaitu bawang, daging dan kelapa ke negara ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata, kini kajian atas arahan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) itu menjalani sesi libat urus bersama agensi kerajaan dan pemain industri berkaitan.
Menurut beliau, dapatan kajian dijangka dibentangkan kepada MTEN sebelum akhir tahun ini.
“Menyedari kompleksiti kes-kes yang disiasat saban hari, MyCC sedang giat memperkasa perundangan persaingan negara melalui pindaan Akta Persaingan 2010 dan Akta Suruhanjaya Persaingan 2010.
“Ia bagi memperkukuhkan kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan serta memperkenalkan Rejim Kawalan Penggabungan bagi memastikan MyCC dapat membanteras pembentukan kartel atau monopoli baharu dalam pasaran.
“Pindaan kepada Akta ini disasarkan untuk dibentangkan dalam mesyuarat Dewan yang akan datang sebaik mendapat kelulusan Jemaah Menteri.
“Komitmen kita dalam membasmi aktiviti kartel yang bertentangan dengan undang-undang anti-persaingan ini akan dapat dilaksanakan dengan lebih agresif dengan suntikan
peruntukan RM27 juta dalam Belanjawan 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat dasar di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Armizan menambah, sejajar dengan fokus KPDN bagi tahun 2024 untuk meningkatkan Pendayaupayaan dan Advokasi Kepenggunaan, pihaknya menjalankan Kajian Pewujudan Perundangan berkaitan Lemon Law bermula bulan Jun sehingga November in.
Justeru menurut beliau, penetapan untuk membuat penambahbaikan perundangan sedia atau pun pewujudan perundangan baharu akan dimuktamadkan dalam sedikit masa sahaja lagi.
“Bagaimanapun, KPDN juga telah mewujudkan dua strategi interim bagi menangani isu ini, iaitu yang pertama, melalui penubuhan Pasukan Rundingan Khas Berkaitan Aduan Kenderaan Bermotor di KPDN sebagai pemudah cara bagi aduan pengguna
berkaitan kenderaan bermotor di Malaysia.
“Yang kedua pula, pengukuhan proses Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia melalui kerjasama strategik dengan Bank Negara Malaysia berkenaan surat persetujuan (consent letter) antara institusi perbankan/kewangan bagi membolehkan pengguna membuat tuntutan tebus rugi di Tribunal atau Mahkamah,” katanya.
Lemon Law ialah undang-undang menyediakan hak tebus rugi kepada pembeli kenderaan bermotor dan barangan pengguna lain untuk mendapatkan remedi terhadap produk berulang kali rosak selain gagal memenuhi standard kualiti serta prestasi. – MalaysiaGazette