Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Liew Chin Tong hadir pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 14 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Jumlah pelaburan diluluskan bagi sektor perkhidmatan, perkilangan dan utama telah meningkat sebanyak 23 peratus pada 2023, dengan nilai tertinggi dalam sejarah sehingga RM329.5 bilion, melibatkan sebanyak 5,101 projek.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, dari jumlah itu, pelaburan asing (FI) menyumbang sebanyak RM188.4 bilion atau 57.2 peratus, manakala baki RM141.1 bilion (42.8%) disumbangkan oleh pelaburan domestik (DI).

“Malahan, momentum ini telah diteruskan dalam tempoh separuh pertama 2024 dengan sejumlah RM160 bilion pelaburan diluluskan bagi sektor perkhidmatan, perkilangan, dan utama, melibatkan sebanyak 2,948 projek.

“Prestasi ini adalah 18 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama dalam 2023 (RM135.6 bilion).

“Dari jumlah tersebut, FI menyumbang sebanyak RM74.6 bilion (46.6%), manakala RM85.4 bilion (53.4%) disumbangkan oleh DI,” katanya pada sesi jawapan menteri dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu Ahli Parlimen Bukit Bintang-PH, Fong Kui Lun meminta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menyatakan sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan, sejauh mana usaha menarik pelaburan asing ke Malaysia berjaya dilakukan setakat ini.

Chin Tong juga berkata, Kerajaan Madani telah melaksanakan pelbagai usaha proaktif menarik pelaburan asing ke Malaysia, termasuk inisiatif dan reformasi polisi oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

“Melaksana reformasi pentadbiran menerusi penubuhan Majlis Pelaburan Negara (MPN) yang dipengerusikan Perdana Menteri yang berperanan sebagai badan eksekutif tertinggi dalam merencanakan strategi pelaburan negara, khususnya bagi projek-projek pelaburan ikonik, berkualiti, berteknologi dan berimpak tinggi.

“Penubuhan Jawatankuasa Tindakan Penyelarasan Pelaburan dan Perdagangan (JTPPP) di bawah MITI sebagai platform memantau dan melaksanakan tindakan terhadap isu-isu yang dihadapi oleh para pelabur, terutamanya bagi projek pelaburan strategik.

“Menganjurkan Misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM) bagi menarik pelaburan berkualiti dan meningkatkan kerjasama pelaburan dan perdagangan dengan rakan dagang,” katanya.

Jelasnya, MITI juga memperkukuhkan ekosistem dan khidmat fasilitasi pelaburan menerusi penubuhan Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia atau Invest Malaysia Facilitation Centre (IMFC) di ibu pejabat MIDA bagi mempercepatkan pelbagai proses kelulusan berkaitan pelaburan.

“Melaksana pendekatan strategi tumpuan industri dan mengenal pasti peluang pelaburan selaras dengan perkembangan pesat teknologi dan transformasi digital global semasa, termasuk mensasarkan industri-industri bernilai tinggi.

“Menyusun semula landskap IPA bagi memusatkan fungsi promosi pelaburan di bawah MIDA, dalam mengoptimumkan sumber sedia ada bagi menjamin penyampaian perkhidmatan IPA yang lebih sistematik dan terurus,” katanya.

Katanya lagi, MITI turut melaksanakan Kajian Penstrukturan Semula Insentif Cukai untuk memastikan penyeragaman insentif dilaksana dengan lebih berkesan, dan turut mengambil kira faktor Cukai Minimum Global (GMT).

“Mempergiat sesi libat urus dengan pelabur baharu dan sedia ada melalui penganjuran seminar / webinar, mesyuarat meja bulat, lawatan kerja, mesyuarat dengan syarikat individu dan majlis rangkaian oleh Pejabat MIDA luar negara.

“Memanfaatkan Kepengerusian ASEAN 2025 untuk memperkukuh kerjasama ekonomi serantau, serta peluang untuk mempromosikan ekosistem pelaburan Malaysia sebagai destinasi pelaburan terpilih di rantau ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast