KUALA LUMPUR – Seorang penghantar barang diberkas kerana disyaki memecah masuk sebuah bangunan di Bukit OUG, di sini, hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, polis menerima maklumat mengenai kejadian tersebut jam 4.10 pagi Selasa.
Katanya, bertindak atas maklumat sepasukan anggota dihantar ke lokasi dan siasatan mendapati lelaki itu menceroboh bangunan dengan menggunakan botol berisi petrol.
“Polis berjaya menahan lelaki tempatan berusia 28 tahun itu di lokasi kejadian.
“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati suspek bekerja sebagai penghantar barang memiliki lapan botol air mineral yang diisi dengan minyak petrol dan setiap satu diikat bersama sebiji mercun bola,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Rusdi, polis turut merampas satu lagi botol air diperbuat daripada aluminium yang disyaki telah diisi dengan mercun bola.
“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan dengan kejadian ini diminta untuk menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/5051 atau mana-mana balai polis berhampiran,” ujar beliau. – MalaysiaGazette