Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Klang di Bandar Bukit Tinggi. Foto MOHD ADZLAN 06 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Operasi penguatkuasaan bagi memburu majikan yang culas daripada mendaftar dan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan dilaksanakan secara berkala.

PERKESO menerusi kenyataan menegaskan, setiap pekerja yang digajikan di Malaysia perlu didaftar dan dicarum, tanpa mengira status kewarganegaraan.

Pematuhan selaras prinsip keadilan sosial dan piawaian antarabangsa ini amat penting demi memastikan setiap pekerja sebagai penggerak utama ekonomi dilindungi jika ditimpa musibah ketika berkhidmat.

”Pekerja adalah aset paling berharga dalam sesebuah organisasi atau perusahaan, justeru mereka wajib didaftar dan dicarum bagi mendapat perlindungan keselamatan sosial.

”Pematuhan ini bukan sekadar kewajipan mengikut lunas undang-undang, tetapi ia bukti keprihatinan majikan terhadap kebajikan pekerja.

”Sehubungan itu, PERKESO tidak akan berkompromi terhadap mana-mana majikan, yang gagal mematuhi peruntukan undang-undang berkaitan keselamatan sosial pekerja selaras konsep Kerajaan MADANI,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, PERKESO mengambil tindakan perundangan dilaksanakan baru-baru ini terhadap sebuah syarikat pengeluar minuman berasaskan madu.

Berdasarkan keputusan penghakiman, semua Pengarah Syarikat berkenaan mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800), di Mahkamah Majistret Shah Alam, semalam.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM17,500 atas tujuh pertuduhan, termasuk tunggakan caruman PERKESO bagi Akta 4 dan Akta 800, dengan jumlah keseluruhan RM141,054.90. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast