KUANTAN – Polis Pahang menerima sebanyak 49 laporan berkaitan orang hilang sejak Januari sehingga Oktober tahun ini yang mana empat daripadanya masih dalam siasatan.
Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, daripada empat kes belum selesai itu, dua daripada mereka merupakan orang asli yang dilaporkan hilang di Rompin.
“Salah seorang mereka bernama Buyong Gani, 67 yang tidak kembali setelah keluar rumahnya di Kampung Jemeri awal pagi pada 15 September lepas.
“Manakala seorang lagi lelaki orang asli berusia 27 tahun hilang selepas didakwa keluar ke kebun getah untuk menoreh pada 16 Oktober,” katanya dalam satu sidang media selepas Perhimpunan Bulanan bagi bulan November 2024 di Perkarangan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang, di sini hari ini.
Yahaya berkata, satu lagi kes orang hilang yang belum diselesaikan membabitkan seorang lelaki di Felda Bukit Mendi, Triang, Bera yang didakwa keluar rumah pada bulan Mei lalu untuk menuntut ilmu.
“Apabila memasuki bulan Jun, isteri lelaki itu cuba menghubunginya namun gagal, lalu dia terus membuat laporan polis.
“Jadi, kita masih mengesan sama ada mangsa telah keluar daripada Malaysia atau tidak. Kita akan dapatkan maklumat daripada pihak imigresen,” tambahnya lagi.
Ditanya mengenai kes kehilangan seorang remaja perempuan di Maran pada 9 November lepas, Yahaya memberitahu, menerusi siasatan polis mendapati gadis itu dipercayai berada di utara semenanjung.
Namun polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti lokasi sebenar mangsa. – MalaysiaGazette