Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis sedang menyiasat bagi mengenal pasti motif seorang lelaki yang membunuh dan menyimpan mayat ibunya di dalam peti sejuk beku selama tiga tahun di dalam rumahnya di Taman OUG, Kuchai Lama di sini hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Komisioner Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, suspek dalam kes terbabit adalah seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut kes tersebut.

“Pada 12 November (Selasa) jam 8.48 pagi, polis telah menerima makluman berhubung penemuan mayat wanita dalam sebuah peti sejuk beku di sebuah perumahan Taman OUG.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Pusat Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian berkenaan diminta menghubungi hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast