Foto Kesultanan Pahang

KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar mewujudkan Mahkamah Utama Syariah di negeri ini.

Titah baginda, ia merupakan usaha memperkasa sistem kehakiman syariah di Pahang demi keadilan dan kesejahteran ummah.

“Pada hemat saya, sudah tiba masanya Mahkamah Syariah di negeri ini diperluas kepada empat peringkat.

“Selepas Mahkamah Rayuan Syariah, perlu diwujudkan satu peringkat tambahan yang dinamakan Mahkamah Utama Syariah. Mahkamah ini akan berfungsi mendengar rayuan dan semakan kes dari Mahkamah Rayuan Syariah.

“Persiapan dari sudut penggubalan dan pindaan undang-undang amat penting, agar cadangan ini dapat dibentangkan di Dewan Undangan Negeri pada penghujung tahun ini atau awal tahun depan,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian sempena Mesyuarat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang ke-193 hari ini.

Foto Kesultanan Pahang

Pada masa ini sistem kehakiman syariah di Pahang terdiri daripada  Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah.

Baginda turut menitahkan agar undang-undang syariah yang diguna pakai di negeri ini disemak dan ditambah baik secara berkala serta dilaksanakan dengan konsisten.

Titah baginda, setiap pembaharuan perlu selari dengan perkembangan semasa dan berdaya menangani isu-isu terkini yang timbul dalam masyarakat.

Dalam pada itu, dalam titah diraja, Al-Sultan Abdullah turut memberi peringatan tegas kepada semua pemegang tauliah mengajar agar tidak menjadikan masjid sebagai pentas politik.

“Masjid seharusnya menjadi tempat penyatuan dan perpaduan umat islam, bukan ruang untuk menyebarkan kebencian atau fitnah.

“Kita semua bertanggungjawab memastikan masjid kekal sebagai tempat yang aman dan selamat bagi semua, tanpa mengira latar belakang atau fahaman politik,” titah baginda lagi.

Baginda turut mengingatkan tauliah boleh ditarik balik jika berlaku penyalahgunaan bagi menjaga kesucian tujuan asal pentauliahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast