KUALA LUMPUR- Universiti Malaya (UM) mengadakan perbincangan awal dengan Universiti Tsinghua dari Beijing, China untuk menubuhkan Institut UM-Tsinghua.
Naib Canselor UM, Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata, penubuhan institut itu akan menjadi langkah transformatif dalam kerjasama pendidikan dan penyelidikan UM dan Universiti Tsinghua.
“Penubuhan institut ini akan membolehkan pelajar, penyelidik, dan fakulti dari kedua-dua institusi meneroka idea baharu, menjalankan penyelidikan bersama, dan membangunkan penyelesaian kepada cabaran global dalam ruang yang dikongsi bersama ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kerjasama dalam sektor kritikal terutamanya dalam kecerdasan buatan AI, semikonduktor dan seterusnya pembinaan ekosistem akan melengkapkan pelajar dan kakitangan UM untuk menjadi pemimpin global dalam bidang masing-masing.
Menurut Noor Azuan, kerjasama antara UM dan Universiti Tsinghua telah menghasilkan beberapa inisiatif akademik dan penyelidikan yang berimpak termasuk Program Ijazah Sarjana Dual (Fakulti Kejuruteraan), Program Artikulasi 3+1+1 & Program Mobiliti (Fakulti Undang-Undang), Inisiatif akan datang antara TIDREC dan Universiti Tsinghua serta Hab Penyelidikan dan Pendidikan Perubatan UM-THU (Fakulti Perubatan).
Dalam kenyataan tersebut UM memaklumkan, Noor Azuan mengadakan perbincangan dengan delegasi peringkat tertinggi dari Universiti Tsinghua, Beijing, China yang diketuai Naib Presiden, Profesor Yang Bin.
Delegasi yang disertai oleh pengurusan fakulti, bertujuan untuk pertukaran akademik yang lebih luas dan membuka laluan baru dalam penyelidikan, mobiliti pelajar dan kakitangan.
Perbincangan yang berlangsung antara Naib Canselor UM dengan pihak pengurusan Universiti Tsinghua turut menyentuh tentang pembangunan dan kemajuan bersama dalam beberapa bidang strategik utama termasuk teknologi kewangan, industri semikonduktor dan cip, kecerdasan buatan, dan pengurusan perniagaan serta ekonomi.
Katanya, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi serta Fakulti Kejuruteraan dari UM akan mengetuai kerjasama dalam bidang-bidang tersebut yang bertujuan menghasilkan pulangan yang berdaya tahan dan berkekalan kepada kemajuan penyelidikan dan ilmu pengetahuan.
Profesor Yang Bin turut menerangkan tentang ekosistem Universiti Tsinghua di mana mereka mempunyai penawaran pendidikan yang berdedikasi dan tersusun dari peringkat sekolah rendah dan menengah.
Jelasnya, model dan konsep Tsinghua diterapkan dalam menyediakan pendidikan berkualiti kepada segmen demografi muda di sekolah-sekolah berkenaan.
Naib Canselor UM amat tertarik dengan model dan sistem yang tersebut dan telah menyatakan minat serius dan pertimbangan dalam menerapkan model yang sama di Malaysia di bawah nama dan jenama UM.
Katanya, ia akan menjadi pemangkin perubahan dalam sektor pendidikan dan memberi manfaat kepada generasi masa depan negara. -MalaysiaGazette