Para peserta program merakamkan gambar.

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) sekali lagi memperkukuhkan kerjasama dalam mengembangkan
keusahawanan digital melalui penganjuran program Kembara eUsahawan 2024: Zon Borneo yang berlangsung di UMS baru-baru ini.

Menurut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor, hubungan yang erat antara MDEC dan UMS bermula sejak tahun 2018, apabila MDEC memberi peluang kepada pensyarah UMS untuk menjalani latihan dalam bidang keusahawanan digital.

“Hasil latihan ini telah diintegrasikan ke dalam kurikulum akademik UMS bagi mencipta asas yang kukuh dalam mendidik pelajar UMS mengenai keusahawanan digital.

“Usaha ini telah membuahkan hasil yang amat membanggakan apabila seramai 16,616 pelajar UMS telah dilatih dalam program eUsahawan dan berjaya mencatatkan jualan lebih daripada RM5.9 juta, dan pada tahun lalu sahaja, pelajar kita mencatat jualan lebih daripada RM664,000.

“Ini adalah satu pencapaian besar bagi UMS, mencerminkan usaha gigih dan dedikasi semua pihak yang terlibat,” katanya.

Kasim menambah, hasil kerjasama tersebut juga, MDEC telah melatih 53 pensyarah UMS, terutama dengan menjadikan pensyarah-pensyarah ini sebagai jurulatih modul
eUsahawan Siswa yang berkualiti dan terus membimbing pelajar ke arah kejayaan keusahawanan digital.

Kerjasama ini terus melangkah ke hadapan, dengan UMS kini sedang dalam proses untuk diiktiraf sebagai eUsahawan hab.

“Pengiktirafan ini diharap akan membuka jalan bagi UMS untuk menjadi pusat sokongan agenda digitalisasi ekonomi negara dalam kalangan komuniti tempatan, khususnya dalam membantu usahawan kecil dan sederhana mengembangkan perniagaan mereka di platform digital.

“eUsahawan Hab akan menjadi hab menyediakan kemahiran keusahawanan digital yang dinamik dengan pelbagai bimbingan dan latihan yang akan menguntungkan
komuniti setempat serta memberi impak besar kepada UMS khasnya,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast