PASIR GUDANG – Seorang wanita warga emas disamun seorang lelaki dengan sebilah pisau semasa berada dalam rumahnya di Taman Kota Masai, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian berlaku semasa wanita berusia 79 tahun itu berada seorang diri di rumah pada pukul 12.57 tengah malam.
“Ketika kejadian, seorang lelaki tidak dikenali telah masuk ke dalam rumah dan meletakkan sebilah pisau di leher mangsa serta meminta mangsa menyerahkan barangan berharga.
“Kerugian dialami mangsa sebanyak RM2,000. Dalam kejadian ini mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,”katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Susulan itu katanya, bertindak atas maklumat selepas menerima aduan kejadian itu, pihak polis berjaya memberkas suspek pada pukul 4.30 pagi tadi.
Beliau berkata, polis turut merampas barang-barang seperti telefon bimbit, sebuah tablet milik mangsa, sebilah pisau dan satu bag galas.
Ujarnya, suspek yang mempunyai 15 rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah, direman selama tujuh hari sehingga 18 November ini.
Hasil ujian urin yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, katanya.
Tambah beliau, kes disiasat dibawah seksyen 392/397 kanun keseksaan.- MalaysiaGazette