Penduduk yang berkumpul dan memindahkan barang diluar rumahnya yang bergelap susulan pemotongan bekalan elektrik dari Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada jam 10.30 pagi tadi ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 10 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 22 daripada 328 rumah di Kampung Sungai Baru, Kampung Baharu, dekat sini, masih menghuni di situ.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata, pihak pemaju telah membuat prosiding mahkamah untuk memulakan perintah milikan tanah bagi unit yang masih dihuni itu.

“Setelah pampasan dibayar dan notis dikeluarkan, pemilik tidak lagi hak ke atas tanah tersebut dan penamatan bagi blok-blok flat juga telah diperoleh melalui perintah mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mengenai pembinaan Kampung Baru, Zaliha berkata, ia dijangka siap sepenuhnya pada Disember tahun hadapan dengan peruntukan RM6 juta sebagai projek sambungan untuk membina tempat letak kereta serta beberapa kemudahan lain.

“Peruntukan ini khusus untuk fasa pembinaan tersebut dan bukan untuk keseluruhan Kampung Baru.

“Usaha jangka panjang ini sedang dilaksanakan di bawah Pelan Induk Kampung Baru 2040 yang menyasarkan pembangunan berfasa sehingga tahun 2040,” katanya.

Zaliha menambah, model pembangunan yang diguna pakai adalah mekanisme pembaharuan bagi memastikan pembangunan Kampung Baru bergerak seiring dengan bandar raya.

“Pelan ini memberi penekanan terhadap pemeliharan warisan budaya kepentinggan pemilikan tanah orang Melayu dan penglibatan kerajaan, swasta dan pemilik tanah dalam proses pembangunan.

“Pendekatan ini dibuat secara berperingkat sesuai dengan keperluan masyarakat setempat dan kesinambungan pelan jangka panjang,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast